国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Video testimonial (Lihat testimoni mangsa bom atom)
ORIMEN Shigeko (ORIMEN Shigeko)
Jantina Perempuan  Umur ketika serangan bom atom 37 
Tarikh rakaman dibuat 1990.8.  Umur ketika rakaman dibuat 82 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 
Dubbed in Malay/
With Malay subtitles
With Malay subtitles 
Puan Shigeko Orimen berumur 37 tahun ketika itu. Saya melihat sinaran bom atom di Kampung Yahata, Daerah Saeki yang berjarak 8.7km dari pusat letupan bom atom. Pada pagi bom atom digugurkan, saya sedang berehat setelah mengemas kawasan sekeliling. Pada 7 dan 8 haribulan, selama dua hari, saya mencari anak saya yang bernama Shigeru, di seluruh bandar. Setelah lama mencari, saya menjumpai mayat anak saya bersama bekal makanannya. Kisah ini telah diterbitkan di dalam buku yang bertajuk "Bekal makanan hitam". Bekal makanan tersebut kini disimpan serta dipamerkan di Muzium Memorial dan Keamanan Hiroshima.
 
Ketika itu, kacang soya ditambahkan dalam peruntukan gandum dan beras. Tetapi jikalau dimasak bersama gandum dan beras, kacang soya akan pecah menjadi separuh, atau empat suku, dan tidak sesuai untuk dimakan. Oleh itu, saya diajar yang kacang soya perlu dimasak 2 kali. Pada 5hb Ogos, saya mula memasak kacang soya, dan merendam beras serta gandum dalam air.
 
Waktu pagi hari yang seterusnya, saya memasak campuran 3 jenis gandum; gandum merah, beras dan kacang soya yang telah dimasak untuk kali kedua dengan mengunakan kayu arang. Ketika Shigeru melihat nasi kacang soya itu, dengan riang dia berkata "Yeah, gembiranya". Ubi kentang kering yang ditanam di rumah kami digoreng untuk lauk bekal makanannya. Pada zaman sekarang, kita menunjukkan rasa gembira dengan mengatakan "Yeah!". Tetapi pada waktu itu, cara kita menunjukkan rasa gembira cuma biasa sahaja.
 
Pada pagi 6hb Ogos itu, Shigeru menyebut "Yeah, gembiranya" dan meninggalkan rumah bersama bekalnya. "Kalau ada apa-apa, rendahkan badan dan cari perlindungan". Sebab itu adalah apa yang saya ulang setiap hari, dia senyum dan menjawab "Saya tahu". Sampai kini masih tertinggal kenangan pahit waktu itu, ketika dia bersenyum sambil menyebut "Saya tahu". Perkara itu berlaku pada pagi yang panas, 6hb Ogos.
 
Ketika itu, saya keluar menjemput seorang bayi berusia 14 bulan, yang diasuh oleh nenek saya. Di bawah tingkat 2 terdapat sebuah bilik sebesar 3 tatami yang nyaman. Di situ, saya meletakkan bayi itu ke bawah dan menyusukannya. Setelah bayi itu kenyang dengan susu ibu, dia meninggalkan saya dan mula berjalan untuk kali yang pertama. Bom atom digugurkan pada ketika bayi itu mengambil langkah yang ketiga, dan pada waktu saya menyebut "Hati-hati!. Bayi itu terjatuh dan terus menangis.
 
Pada waktu itu, kami memiliki klinik pergigian, yang dikelilingi pintu kaca. Pintu kaca tersebut bersinar terang dan ketika itu, kedengaran bunyi letupan, bunyi kuat berdentum dan bergetar, kedengaran berjenis-jenis bunyi pada waktu yang sama. Pelbagai jenis bunyi letupan kuat pada waktu itu menyebabkan bayi itu mula menangis. Ibu saudara saya yang tinggal di rumah belakang keluar bersama cucunya dan bertanya, "Apakah yang kita boleh buat".
 
Di sebelah rumah ibu saudara saya, terletak rumah keluarga Aratani. Pada pagi itu, nenek dan ibu saudara saya keluar bersama Makcik Aratani untuk membawa cucunya bermain di luar. Masa saya menyebut "macam mana", di arah kawasan Suzugamine, langit diliputi awan tebal, seumpama suasana selepas letupan gunung berapi. Juga kedengaran bunyi kapal terbang, saya berasa amat takut dan tidak dapat berbuat apa-apa.
 
Jiran berdekatan telah menyediakan lubang perlindungan serangan udara. Oleh sebab tempat itu sempit, kami tidak boleh berdiri tegak di dalamnya. Kini saya sedar yang tempat itu sebenarnya tidak memberi perlindungan, ia cuma dibuat di atas arahan. Saya terus masuk ke dalam lubang perlindungan yang dibuat dengan menimbun pohon tanaman hias. Tetapi makcik tidak boleh duduk diam, dan keluar untuk menjenguk langit yang diliputi awan cendawan sambil bertanya "Apa itu?" "Apa yang terjadi". Semua jendela kaca telah pecah dan saya berasa amat takut tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.
 
Di tingkat 2 dan di tempat yang saya berada, terletak peralatan pergigian dan perkakas kecemasan milik adik dan nenek saya. Oleh sebab pintu gelas telah pecah, tidak ada apa-apa yang tertinggal antara rumah kami dan jalan di luar. Kalau kami duduk di rumah, kaki kami boleh menjangkau ke jalan. Oleh sebab pintu gelas pecah, perkakas kecemasan dan sebagainya boleh dilihat dari luar serta ramai orang berlalu-lalang di jalan itu, kami tidak boleh meninggalkan rumah kami.
 
Ketika kami mengemaskan serpihan gelas dengan hati-hati, langit bertukar menjadi gelap. Kemungkinan satu jam telah berlalu. Ketika itu cuaca mendung, hujan yang turun tidak lebat. Setelah itu, cebisan kertas turun dari langit. Seolah-olah jelaga yang turun dari langit ketika salji lebat. Tetapi cebisan kertas itu besar, seperti kelopak bunga.
 
Bukan sejam, tetapi satu setengah jam, atau 2 jam telah berlalu. Walaupun hujan turun, cuaca tidak dingin dan masih panas. Oleh sebab hujan itu tidak menakutkan, saya mendukung kanak-kanak sambil mengemaskan serpihan gelas tingkap di luar rumah. Rumput tumbuh lebat di luar rumah. Kami juga menanam sedikit sayur untuk menambahkan stok makanan. Untuk mengelakkan kanak-kanak daripada bermain di tebing sungai, kami juga telah menanam pokok ara.
 
Saya tidak tahu apa yang berlaku di luar. Dengan khuatir, saya keluar dari lubang perlindungan.
 
Pada pukul 10:30, mangsa bom atom pulang melalui jambatan. Orang itu bernama Kayoko dari Kawasaka, dia bekerja di Bank Cawangan Hiroshima yang terletak di sebelah Takanobashi. Tanpa berlengah saya berlari ke arah dia dan bertanya "Macam mana keadaannya?". Sambil menangis dia menjawab "Hiroshima terbakar, semua jalan di situ tersekat, tidak boleh pergi mana-mana". Selepas itu, saya terus pulang ke rumah.
 
Mengenai keadaan Shigeru, apa yang peliknya ialah saya percaya yang dia mesti pulang ke rumah. Saya tidak risau mengenai Shigeru, dan tidak keluar mencari dia.
 
Lebih kurang pukul 3 agaknya, Kedengaran "Anak kamu pulang dengan kawan-kawannya, 4,5 orang, melalui jambatan Aioi" Pada pukul 3, ramai orang lalu-lintas di depan rumah kami. Ada yang keluar mencari, ada yang pulang, ada juga mangsa bom. Saya lega ketika mendengar yang seramai 5,6 orang pulang melalui jambatan Aioi. Dalam hati, saya yakin yang "Dia masih hidup dan pasti akan pulang ke sini". Saya merasa lega apabila mendengar kata-kata tersebut dari orang lain.
 
Saya membersihkan bilik mandi pada pukul 12, dan tidur pada pukul 1, 7hb. Sebelum saya terjaga dari tidur, saya bermimpi yang Shigeru membelok selekoh dan pulang dengan menaiki basikal. Sambil mengayuh basikalnya, dia meraba kedua-dua tangannya dan berkata "Mak, tangan saya sakit". Dengan kedua-dua tangan saya, saya mengeset setiap lengan dia. Dengan itu, dia lenyap dari situ. Mimpi yang agak pelik, kerana bahagian bawah tubuhnya tidak kelihatan. Saya juga melihat dia mengeset tangan sendiri. Kedengaran "Mak, tangan saya sakit", saya mengeset tangannya dan Shigeru lenyap.
 
Di belakang rumah saya, ada pondok kecil. Terpegun, saya bergesa keluar dari pondok itu. Sambil saya duduk di tepi jalan dan merenung-renung, "Peliknya, seolah-olah bukan mimpi", isteri seorang tentera yang bernama Yasutaro Furumoto menyapa saya. Ketika saya keluar pada pukul 4 pagi, langit masih belum terang sepenuhnya. Isteri tentera itu bertanya, "Sudah tahu keadaannya?". "Tidak, tidak tahu. Saya keluar sebab mimpi yang saya lihat tadi" Dia menjawab, "Oh, begitu" dan meninggalkan tempat itu. Saya pulang ke rumah selepas itu.
 
Adik lelaki saya berkata "Hari ini saya akan membawa kakak keluar". Saya memasak nasi dan menyediakan bekal makanan onigiri. Saya juga menyediakan botol air untuk Shigeru dalam beg sandar dan keluar mencari Shigeru selepas itu. Tetapi saya membawa pulang botol itu kerana saya tidak dapat memberikan air tersebut kepada Shigeru. Ke mana sahaja saya pergi, orang-orang yang mencari perlindungan semuanya kelihatan sama, langsung tidak dapat dibezakan. "Mereka kata ada 4,5 orang yang pulang melalui Jambatan Aioi, marilah cari di situ" kata adik saya. Mengingat kembali waktu itu, jambatan Aioi penuh dengan batu memorial.
 
Semasa mencari Shigeru, saya pulang dengan melintas laluan di sebelah barat jambatan tersebut. Di Jambatan Besar Heiwa, saya terjumpa mayat seorang lelaki yang telah mati hangus terbakar. Biji matanya terkeluar sebanyak 1cm. Pada hari yang saya keluar mencari Shigeru, agaknya disekitar bilik stor, di tempat yang dikenali sebagai Syarikat Surat Khabar Chugoku kini, berulang kali kedengaran bunyi tin terpelanting yang kuat.
 
Ada satu perkara lagi yang saya tidak dapat lupakan. Berdekatan rumah saya terletak sebuah tangki air yang mampu menampung air sebanyak 5 shaku. Di dalam tangki air itu, 6-7 orang lelaki yang seolah-olah sedang berkerja, telanjang dan mati berdiri tegak di situ. Saya tidak dapat melupakan hal itu sampai hari ini.
 
Tiang elektrik yang tumbang kekal di mana ia tumbang. Dari tiang terbakar itu kedengaran bunyi percikan elektrik.
 
Apabila saya melihat sungai, di situ terdapat ramai orang yang terapung dialirkan arus sungai dan angin. Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terus adik saya menegur "Kakak, kalau kami duduk di sini saja, kami tidak tahu di mana Shigeru berada. Ayuh, kita cari saja di tempat seterusnya".
 
Mangsa bom atom dipindahkan dengan lori. Mereka berkata "Di Ninoshima tadi", "Tadi di Ujina" Tiada maklumat mengenai ke mana mangsa-mangsa dipindahkan. Mustahil pencarian dibuat dalam keadaan itu. Adik saya bercadang "Carilah di kawasan Ujina".
 
Saya terus menumpang basikal ke Hospital Palang Merah Jepun. Apabila saya melangkah masuk ke dalam hospital, orang-orang yang tercedera terlantar di sana sini, ada yang mengalir darah dari mulut, ada yang bengkak seluruh badan. Kedengaran orang meminta "Air, air", tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya merasa kasihan kepada mereka, tetapi saya meneruskan pencarian Shigeru. Bekal air adalah untuk Shigeru dan saya tidak memberi air itu kepada orang lain. Saya tidak dapat mengawal perasaan saya.
 
"Dia tidak ada di sini, kita pergi mencari di tempat yang seterusnya", dan saya mengayuh basikal ke arah selatan. Matahari mula tenggelam dan saya tidak tahu di mana saya berada. Saya juga telah pergi ke khemah tahanan di Kannon Machi, tetapi Shigeru tidak berada di sana. Ketua kumpulan, En Miyamoto bersama adik saya turut ke Kannon Machi, tetapi kami masih tidak berhasil dalam pencarian. Saya mencari sehingga ke daerah Koi, mencari Shigeru di sana sini, “Mungkin dia di sana, mungkin dia di sini?”, tetapi hari sudah gelap. Akhirnya saya pulang ke rumah, pada 7hb, dengan bekalan air yang tidak diminum, Mungkin, saya harus memberikan air ini kepada orang-orang yang meminta "Air, air" tadi, tetapi ketika itu saya tidak mampu untuk membuat apa-apa.
 
Pada 8hb, pukul 6 pagi, kedengaran suara yang memanggil "Puan Orimen". Pada waktu petang, selepas pulang dari kerja, ketika mencari anak pengarah syarikat, hud perlindungan yang tertulis nama "Orimen", cebisan kain dan dompet terletak di tepi jalan. Tentera disitu sedang mengemaskan benda-benda itu. Oleh kerana kami menjaga orang-orang lain juga, barang-barang yang tertulis nama "Orimen" terkumpul di situ. Kepada orang-orang itu, saya bertanya "Kenapa ini?". "Barang-barang ini dikumpulkan dari tempat kebakaran disitu" jawab mereka. Jarang orang memiliki nama keluarga "Orimen". "Kemungkinan barang-barang ini milik kamu, tetapi oleh sebab saya tidak dapat ke sini malam semalam, saya datang ke sini awal pagi ini" katanya. Saya menjawab "Ya ke?" kepada tentera tersebut.
 
Saya terus menyediakan bekas untuk menyimpan abu mayat yang diterima daripada En Furumoto, dan menyediakan bekal air dan makanan untuk meneruskan pencarian. Tetapi pada pagi tersebut, oleh kerana amaran serangan masih belum ditarik balik, saya tidak dapat pergi Hiroshima ketika itu. Saya memulakan pencarian pada waktu tengahari. Mayat hangus terbakar bertimbun-timbun. Saya masih boleh mengecam kalau mayat itu tinggi atau pendek, tetapi sama ada itu sampah ataupun mayat, juga tidak dapat dibezakan. Walaupun begitu, saya meneruskan pencarian saya, "Macam mana, Tetsu, langsung tak dapat mengecam yang mana" kata saya kepada adik saya.
 
Pada hari itu, saya tidak pergi bersama ketua kumpulan Miyamoto, cuma saya dan adik saya. Peristiwa ini agak aneh kerana tiba-tiba saya terjumpa "dia". Dahi dan matanya seiras dengan gambar budak itu. Saya menyebut "Itu Shigeru, Shigeru, Shigeru". Saya menyimpan tulangnya dalam bekas yang telah saya sediakan. Shigeru meninggal dunia terlantar dan terbakar. Kebetulan bekal makanan Shigeru terletak berdekatan badannya. Adik saya menyebut "Kakak, ada bekal makanan". Di bekas tersebut, terdapat insisi nama abang saya "Masaaki Orimen", yang ditulis oleh saya.
Bekal air dan makanan yang saya sediakan dalam beg Shigeru tidak terbakar dan dalam keadaan baik. Duit juga tidak terbakar dan tertinggal di situ. Semua barang yang tertinggal itu dibawa balik dan disimpan berdekatan dengan altar sembahyang.
 
Saya tidak dapat mengawal perasaan saya ketika mengingat kembali jeritannya "Mak, mak" dalam mimpi saya. Saya pasti yang saya melihat mimpi itu. Saya selalu mengingatkan Shigeru dengan kata-kata, "Kalau berdiri tegak mudah menjadi sasaran serangan udara. Rendahkan badanmu". Saya dengar dari orang lain yang ketika letupan bom, dia berlindung di bilik stor. Di situ, bilik stor runtuh dan dia tertimbus. Dia tidak dapat melarikan diri sebab tangannya terlalu sakit. Tentu dia menderita ketika itu.
 
Cerita yang saya dengar dari orang lain, segelintir yang dapat pulang juga mati 2 hari selepas itu. Semua mangsa kanak-kanak mengulang "Ibu, ibu". Bila anak pulang dari sekolah, waktu mereka memanggil "Ibu", kemungkinan mereka inginkan sesuatu. Dan kemungkinan juga mereka memanggil "Ibu"kerana mereka ingin bermanja dengan ibu. Sudah tentu Shigeru menderita ketika itu. Hal ini tidak boleh berlaku. Ketika saya melelapkan mata, berulang kali saya memikirkan hal itu, sehingga saya tidak boleh tidur. Saya cuma boleh tidur setelah menerima ubat depresen dari doktor.
 
Perang cuma membawa penderitaan dan kesengsaraan. Sila renung dengan mendalam mengenai peperangan. Tidak harus mencetuskan perang. Senjata nuklear tidak patut dicipta dan dimiliki oleh sesiapa. Keamanan yang wujud sekarang harus dilindungi oleh kita. Itu sahaja yang saya ingin sampaikan.
 
Akhir-akhir ini, saya melihat yang Ketua Muzium Memorial dan Keamanan Hiroshima serta Direktor Pusat Budaya Keamanan Hiroshima melawat Rusia. Saya benar-benar merasa pilu apabila melihat keadaan Rusia. Kita tidak boleh mengulangkan apa yang telah berlaku. Sila jalinkan hubungan baik.
 
Apa yang saya harapkan ialah "Keamanan yang berkekalan, keamanan yang berkekalan". Bukan saling menderita.
 
  
 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語