国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Video testimonial (Lihat testimoni mangsa bom atom)
TSUBOI Sunao (TSUBOI Sunao)
Jantina Lelaki  Umur ketika serangan bom atom 20 
Tarikh rakaman dibuat 1988.8.1  Umur ketika rakaman dibuat 63 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima(Jarak dari pusat letupan bom atom:1.2km) 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 
Dubbed in Malay/
With Malay subtitles
With Malay subtitles 
Sunao Tsuboi berumur 20 tahun ketika itu. Beliau terdedah kepada sinaran bom atom di Minami Takeya-cho yang terletak 1.2 km dari pusat letupan bom atom. Pada 6 Ogos, klinik rawatan kecemasan telah dibuka di Jambatan Miyuki danrawatan kecemasan sebelum dibawa ke Ninoshima untuk rawatan selanjutnya. Dengan pengalaman pahit yang dialami oleh En Tsuboi di Jambatan Miyuki, dia menyatakan bahawa dia telah mempelajari betapa dahsyatnya sistem pendidikan yang mendorong orang ramai untuk melibatkan diri dalam peperangan. Selepas perang berakhir, beliau mengambil langkah pertama untuk menjadi pendidik dalam bidang Pendidikan Keamanan.
 
Pada pagi 6 Ogos, saya telah terdedah kepada sinaran letupan bom atom ketika saya sedang melalui gerbang utara Universiti. Hari itu amat panas.
 
Pada ketika itu, saya tidak tahu apa yang telah berlaku. Warna sinaran yang berasaskan warna cahaya magnesium itu amat cantik dan berwarna merah, kuning serta hijau. Mungkin membayangkan cahaya tersebut sebagai cantik adalah tidak sesuai. Sinaran itu memancar melitupi kawasan luas dari atas ke bawah.
 
Kemungkinan saya terhumban ke tempat lain sebelum saya sempat mencari tempat perlindungan. Saya terhumban jauh dari jalan pejalan kaki, sehingga berhampiran kawasan rumah. Ketika saya tersedar, rumah itu telah roboh. Dalam keadaan gelap, saya berjalan tidak tentu arah.
 
Selepas 10 minit, saya menanggalkan baju saya kerana bahagian belakang saya sakit. Dan saya tersedar yang baju saya masih terbakar ketika itu. Kemungkinan saya berlari di sana sini selama lebih kurang 10 minit dengan memakai baju yang terbakar. Saya tidak merasa sakit kerana terpegun dengan hal itu.
 
Di situ, kedengaran makcik yang ditindih rumah menyahut "Tolong saya". Saya ingin menolong kerana saya masih muda, berusia 20 tahun. Walaupun saya pergi dengan niat menolong, saya tidak dapat melihat orang tersebut. Tetapi kedengaran suara tersebut berulang kali. Saya cuba mencari bantuan di sekeliling kerana saya tidak berupaya untuk mengangkut balak kayu dan pelbagai benda di situ seorang diri. Tetapi ketika saya menghulurkan tangan, saya melihat orang-orang di sekeliling berkeliaran dengan muka yang kotor. Sebelum itu saya tidak sedar yang saya juga adalah mangsa. Pada ketika itu, saya sedar yang bom atom telah digugurkan berdekatan kawasan ini.
 
Saya cuba meminta bantuan, tetapi orang-orang di situ seumpama roh merayau, yang terpegun dengan keadaan sekeliling. Saya ingin juga menolong, tetapi saya seorang tidak berdaya menolong. Dengan hati yang berat saya meninggalkan kawasan itu. Saya masih tidak dapat melupakan suara itu sehingga ke hari ini. Setiap kali saya bercerita mengenai hal ini, saya pasti akan melihat hal ini dalam mimpi saya. Saya masih ingat dengan jelas sehingga ke hari ini. Saya merasa pilu kepada apa yang saya telah lakukan.
 
Ketika saya berjalan, saya terpijak benda yang lembik dan menyedari bahawa itu adalah tangan orang. Kepala, tangan dan pelbagai anggota badan juga berselerak di sana sini. Orang tua agaknya, dadanya telah ditembusi tiang bumbung, paru-parunya terdedah setiap kali dia menghembus nafas. Saya yakin orang itu telah meninggal dunia.
 
Saya mula pergi berjalan ke arah sekolah tetapi berhenti berehat di bawah pokok kerana letih berjalan. Ketika itu kedengaran khabar mengenai pusat rawatan kecemasan yang disediakan di Jambatan Miyuki. Oleh kerana Jambatan Miyuki terletak 200-300m dari sini, saya berusaha untuk pergi ke situ. Setelah sampai di Jambatan Miyuki, ribuan orang sudah berkumpul di situ. Tempat yang dipanggil pusat rawatan itu tidak dilengkapkan dengan bumbung atau struktur bangunan. Orang-orang berkumpul di kawasan lapang berdekatan dengan tempat persilangan antara 5 batang jalan. Di situ, ahli-ahli rawatan bersungguh-sungguh merawat mangsa kebakaran dengan minyak. Minyak itu adalah minyak kereta api.
 
Selepas itu, beberapa buah lori-lori tiba. Saya tidak dapat melupakan peristiwa yang telah berlaku dengan lori-lori tersebut. Ahli tentera turun dari lori itu. Mereka melaung "Cuma orang lelaki muda boleh menaiki lori ini". "Orang perempuan, kanak-kanak dan orang tua dilarang naik". Saya sesak nafas ketika mendengar kata-kata tersebut. Orang tua dan makcik yang telah naik ke atas lori itu diturunkan dari lori. Seorang lelaki dalam linkungan 40-50 tahun cuba menarik seorang kanak-kanak perempuan sekolah rendah ke atas lori itu. Tetapi ahli tentera itu menarik budak perempuan itu ke bawah sambil melaung "Budak-budak tidak boleh naik". Nampaknya orang lelaki tadi adalah bapa kepada budak itu.
 
Lori itu berlepas dari situ selepas itu. Mungkin ada yang mengkritik mengapa bapa itu tidak turut turun dari lori itu. Tetapi kita masih dalam peperangan dan adalah teramat bahaya sekiranya orang lelaki dilihat sebagai lemah atau menentang tentera. Perkara itu boleh menyebabkan dia ditangkap polis dan dianggap sebagai pengkhianat negara. Bapa tersebut juga menerima pendidikan sebegitu. Oleh itu dia tidak boleh turun dari lori itu untuk pulang bersama anak perempuannya. Manusia tidak dilayan sebagai manusia. Hak asasi manusia juga tidak diambil peduli. Perasaan negatif terhadap perang terukir dalam hati saya ketika itu.
 
Setelah itu saya tidak sedar diri beberapa kali. Saya tersedar ketika rakan sekelas saya menegur "Oi, Tsuboi, kenapa ni". Dengan bantuan rakan saya, dan oleh kerana saya berjantina lelaki dan masih muda, saya dapat menumpang lori tersebut. Kami dibawa ke Pangkalan Tentera Laut di Ujina. Terlalu ramai orang di tempat itu, sehingga tidak mampu berbuat apa-apa. Saya dapat berjumpa dengan kawan saya di situ. Peluang sebegini adalah amat nipis, dalam puluhan ribu orang disitu. Kawan saya tinggal di Tokyo sekarang. Sambil menggendong saya, dia membantu saya melarikan diri dari Ujina ke Ninoshima.
 
Saya berjalan sendiri ke Ninoshima dan menerima rawatan di situ. Di situ, saya dirawat dengan ubat merkurokrom dan sebagainya. Jika saya tidak berjalan ke situ, saya tidak dapat menerima rawatan. Orang yang cedera parah seperti saya tidak dapat bergerak. Saya tidak menerima sebarang rawatan sehingga saya pulang ke rumah. Ulat-ulat mula muncul di luka-luka di mana lalat merayap dan bertelur. Ulat-ulat juga merayap penuh di atas kulit dan badan saya. Ibu saya cuba membuang ulat-ulat itu dengan penyepit, tetapi saya merasa sakit kerana ulat-ulat itu mencengkam kuat di situ. Walaupun pedih, saya bertahan kerana ulat itu akan mati di dalam badan saya. Saya juga mengalami hal ini.
 
Ada seorang pelajar sedang nazak, yang bersuara lemah sebelum itu, tiba-tiba bangun berlari, menghempas badannya ke dinding dan meninggal dunia. Kenapa dia harus melakukan perkara tersebut? Sebelum menghempas badannya, dia melaung "Serang!". Dengan itu, kemungkinan orang itu merasa dia telah turut serta dalam perang. Itulah pendidikan negara militan yang menggerunkan. Saya juga melihat ada segolongan mereka, yang sampai detik terakhir, masih berlari sambil melaung "Serang", "Tewaskan musuh!" dan jatuh rebah selepas itu. Perkara ini juga menyebabkan saya membuat kesimpulan yang perang dan pendidikan itu amat menakutkan. Oleh itu pendidikan adalah amat penting.
 
Setelah berhubung dengan keluarga saya, ibu bapa saya menyewa perahu dan mereka tiba di Ninoshima bersama ahli keluarga saya. Di kaunter pertanyaan, mereka diberitahu bahawa saya tidak berada di sana. Ibu bapa saya terpaksa mencari saya antara beribuan, berpuluh ribuan mangsa bom atom. Tetapi luka-luka dan lebam-lebam menyebabkan mereka tidak dapat megecam saya. Pada waktu petang, ahli keluarga saya yang lain telah pulang. Cuma tinggal ibu bapa saya, tetapi mereka tidak berdaya berbuat apa-apa. Makin ramai orang yang meninggal dunia. Pada mulanya, mereka membakar mayat-mayat di Ninoshima. Tetapi orang yang membakar mayat dan minyak untuk membakar mayat tidak cukup. Mayat-mayat kemudian dibiarkan di dalam lubang perlindungan dan kebun-kebun.
 
Walaupun ibu bapa saya mencari setiap mayat tetapi masih tidak dapat mencari saya. Mereka mula putus asa dan membuat keputusan untuk pulang. Akhirnya, tanpa segan silu, mereka mula melaung nama saya di setiap bilik sakit. Saya tersedar ketika mendengar suara ibu bapa saya. Saya menjawab "di sini" dan jatuh pengsan dalam posisi tangan terangkat. Atas tekad yang teguh itu saya tersedar ketika itu, dan nyawa saya terselamat.
 
Saya cuma dapat membangunkan diri dan duduk pada tahun yang selepasnya, 10 hb Januari. Pada bulan Mac, saya dapat berdiri dengan bantuan dan berjalan sedikit demi sedikit. Apabila saya pulang ke rumah, kulit kepala saya terkelupas, badan saya terbakar dari bahagian belakang ke kaki. Doktor juga berulang kali berkata "Tidak boleh diselamatkan lagi", "Kalau hidup pun sampai malam ini". Saya juga dimasukkan hospital berkali-kali. Ketika di hospital, saya bekerja seperi biasa. Walaupun sihat hari ini, tiba-tiba rebah keesokan hari. Masih belum diketahui sebab sakit saya ini.
 
Contohnya, apabila saya balik dari kerja, makan, menonton televisyen, menatap surat khabar di atas katil, tiba-tiba saya merasa tidak selesa di kerongkong. Dengan itu darah mula mengalir keluar dan saya dibawa ke Hospital Wilayah dengan ambulans. Di Hospital Wilayah, mereka juga tidak tahu mengapa saya berdarah. Tuala yang saya terima di dalam ambulans merah berlumuran darah. Itulah betapa banyaknya darah yang hilang. Darah yang keluar bukan sekadar gusi berdarah.
 
Hidup waktu perang bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap kesihatan fisikal, malah kesihatan mental juga. Sinaran nuklear yang menakutkan bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan fizikal, malah menyebabkan masalah kesihatan mental juga. Saya yakin. Akhirnya saya pulih dengan bantuan orang ramai.
 
Perang menyebabkan manusia kehilangan identiti mereka sebagai manusia. Mungkin ada mati akibat perang, tetapi mereka yang hidup juga menderita akibat perang. Oleh itu, pendidikan adalah amat penting. Untuk menyumbang kepada masyarakat saya bertekad menjadi pendidik. Jikalau di atas alasan membalas jasa sahaja, kemungkinan besar saya tidak akan menjadi seorang pendidik. Oleh kerana saya percaya bahawa perang berlaku atas pengaruh pendidikan, saya memilih untuk menjadi seorang pendidik. Setelah saya menjadi pendidik, saya berpeluang untuk bertemu dengan pelajar dan ahli keluarga. Saya ingin menggunakan peluang ini, untuk menyumbang kepada keamanan, dengan apa jua perkara kecil yang saya mampu buat.
 
  
 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語