国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Kejadian yang Tidak Dapat Dilupakan pada Musim Panas itu 
SHIMOTAKE Chiyoko (SHIMOTAKE Chiyoko ) 
Jantina Perempuan  Umur ketika serangan bom atom 24 
Tahun tulisan dibuat 2009 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●Kehidupan semasa perang
Saya dilahirkan pada tahun 1921 di Kampung Tonoga (kemudiannya ditukar kepada Kake-cho, dan hari ini dipanggil Akiota-cho), Daerah Yamagata, Wilayah Hiroshima.

Sekitar tahun 1940 atau 1941, saya keluar dari rumah ibu dan bapa saya dan mengambil kelas dalam bidang majlis teh, gubahan bunga dan etiket daripada guru adab sopan yang terkenal dengan cara mengajarnya yang tegas, di rumah beliau di Kampung Tsutsuga (hari ini dipanggil Akiota-cho) dan tinggal di rumahnya. Pelajaran ini banyak membantu saya dalam kehidupan seharian selepas itu. Beberapa tahun kemudiannya, selepas guru meninggal dunia, saya diminta oleh penguasa pendidikan Kampung Tsutsuga untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan guru dan mengajar pelajar-pelajarnya. Saya memperoleh wang daripada yuran pengajaran yang diberikan oleh pihak kampung.

Dari situ, saya kenal dengan Hisashi Kawamoto, anak saudara ketua Kampung Tonoga, dan berkahwin dengannya pada bulan Mei 1944.
Perkahwinan kami adalah berkat hubungan peribadi ayah yang bekerja di Pejabat Kampung Tonoga. Selepas berkahwin, kami tinggal bersama ibu dan ayah suami saya (ayah mertua,  Kamesaburo dan ibu mertua Sekiyo) berdekatan Jambatan Tsurumi di  Hijiyama-honmachi, Bandar Hiroshima. Walaupun suami menjalankan perniagaan jam tangan, dia terpaksa menutup perniagaannya disebabkan oleh tekanan agar menutupnya kerana terdapat beberapa kedai daripada jenis perniagaan yang sama di kawasan kejiranan kami.  Dalam keadaan perang yang sukar, yang menetapkan bahawa tidak boleh ada dua surirumah sepenuh masa untuk sebuah rumah dan bahawa wanita juga harus bekerja, maka sebulan selepas berkahwin saya mula keluar bekerja di gedung senjata tentera di Kasumi-cho, yang juga merupakan tempat kerja ayah mertua.

●Sebelum kejadian pengeboman bom atom
Kampung halaman ibu bapa mertua saya juga ialah Kampung Tonoga. Ibu mertua merancang untuk pergi ke Kampung Tonoga dari 3 hb. Ogos, tetapi tiba-tiba berubah fikiran pagi tu dan memberitahu saya, “Kamu pergi dulu. Saya akan pergi ke sana semasa Obon dan tinggal di sana selama 10 hari.” Oleh itu, saya pergi ke rumah ibu dan ayah saya di Kampung Tonoga dari 3 hingga 5 hb. Ogos. Semasa saya menyeberang Jambatan Tsurumi, ibu mertua mengejar saya dan memberi sekaki payung yang masih elok keadaannya dan berkata, “Tinggalkan payung ni di rumah ibu dan ayah kamu kerana kalau kita simpan di Hiroshima ini, kita tak tahu apa akan jadi dengannya kerana banyak serangan udara di sini.” Dia menyambung lagi, “Sampaikan salam kepada ibu dan ayah kamu, dan jangan lupa balik ke rumah pada 5 hb.” Itulah kata-kata terakhir yang diucapkan oleh ibu mertua. Saya mendengar kata-katanya tanpa sedikit pun terlintas di fikiran bahawa itu merupakan kata-kata terakhir daripadanya kepada saya. Semasa berada di rumah ibu dan ayah, saya sentiasa ingin terus berada di situ selama yang mungkin dan berehat, jadi saya membuat keputusan untuk pulang ke rumah menaiki bas terakhir pada malam 5 hari bulan. Tetapi apabila saya cuba pulang ke rumah mertua, saya tidak dibenarkan menaiki bas dan terpaksa pulang ke rumah ibu dan ayah saya. Apabila mendapat tahu bahawa saya belum pulang ke rumah mertua, ayah memarahi saya dan berkata, “Seseorang yang tidak dapat memenuhi janji ialah seorang yang gagal. Ayah tidak mampu hendak meminta maaf kepada Encik dan Puan Kawamoto atas kata-kata dusta kamu!” Dia juga menghantar sepucuk telegram kepada ibu dan ayah mertua saya dengan pesanan yang berbunyi, “Saya akan pastikan Chiyoko pulang ke rumah esok dengan apa cara sekalipun.”

●Dari 6 hingga 9 hb. Ogos
Keesokan harinya (6 hb. Ogos), saya masih lagi bermalas-malasan di rumah ibu dan ayah walaupun saya telah berjanji untuk pulang ke rumah mertua semalam dan sepatutnya saya sudah bertolak pulang awal paginya. Namun, sekiranya saya bertolak awal pagi itu, tentu saya mengalami kejadian pengeboman di kawasan yang lebih hampir dengan pusat pengeboman. Kemudian, jam menunjukkan pukul 8:15 pagi. Selepas ternampak cahaya yang memancar tiba-tiba, kedengaran pula punya ‘bum’ seperti Bumi berdegam-degum. Tidak lama kemudian, cebisan kertas koyak atau hangus yang tidak terkira banyaknya, yang tertera perkataan “Bandar Hiroshima” dalam tulisan Jepun turun melayang-layang dari langit. Melihat perkara ini, saya berfikir yang sesuatu sedang berlaku di Hiroshima. Selepas itu, kami dimaklumkan bahawa sesuatu yang serius memang berlaku di Hiroshima. Saya cuba untuk pulang ke Hiroshima, tetapi orang ramai mengatakan bahawa keadaan laluan ke bandar tidak sesuai untuk dilalui oleh wanita dan kanak-kanak. Oleh yang demikian, ayah pergi ke Bandar Hiroshima berjalan kaki untuk memeriksa keadaan di sana. Menurut ayah, mula-mula dia sampai di rumah yang keluarga saya diami selama ini di Hijiyama-honmachi dan nampak segala-galanya musnah terbakar. Di tengah-tengah tinggalan kebakaran itu, dia terjumpa papan notis yang berbunyi, “Kami di asrama di gedung senjata.” Dia ke sana dan bertemu dengan suami dan ibu serta bapa mertua saya. Ibu mertua melecur teruk dan sedang nazak. Selepas memeriksa keadaan suami dan ibu serta bapa mertua saya, ayah pergi pula ke Higashi-Hakushima-cho untuk mengetahui keadaan pakcik saya. Dengan rumahnya yang telah runtuh sepenuhnya, pakcik lari menyelamatkan diri ke kawasan di sekitar Koi. Sepupu saya, yang terlibat dengan operasi perobohan bangunan di bawah program kerahan tenaga pelajar, meninggal dunia.

Selepas berjalan ke sana ke mari memeriksa kawasan itu, ayah pulang ke Kampung Tonoga. Apabila mendapat tahu yang keluarga saya termasuk suami berada di asrama di gedung senjata, saya memasuki Hiroshima pada pagi 8 hb. Ogos dengan bertukar daripada bas kepada kereta api (Kabe Line). Dalam perjalanan ke sana, terdapat ramai orang yang tercedera yang bernafas lemah, terlantar di plaza di depan Stesen Kabe. Setiap daripada mereka hanya mempunyai sebiji tin di sisi mereka. Walaupun jika ada orang yang datang untuk mencari keluarga mereka menjenguk muka mangsa dan memanggil nama insan yang disayangi, tiada seorang pun daripada mangsa itu cukup bertenaga untuk menjawab.  Melihat begitu ramai yang tercedera, saya menjadi amat bimbang tentang keluarga sendiri.

Kereta api yang saya naiki berhenti di kawasan sekitar Stesen Mitaki dan semua penumpang diminta turun. Dari situ saya menuju ke arah asrama gedung senjata sambil menjinjing makanan seperti jeruk buah plum dan nasi yang dibekalkan oleh ibu dan ayah. Namun, saya tidak tahu arah mana yang harus dituju kerana segala-galanya seperti padang jarak padang tekukur yang hangus terbakar. Saya terpaksa berjalan tanpa sebarang tanda tempat yang biasanya saya temui. Kemudian saya ternampak api. Dengan mengandaikan bahawa seseorang tentu ada di sana, saya menuju ke arah api itu untuk bertanya arah dan mendapati api itu digunakan untuk membakar mayat. Tidak kira di atas jambatan, di tepi jalan atau di sawah padi, mayat dibakar di mana saja. Walaupun melihat mayat dibakar, saya tidak berasa apa-apa atau berfikir apa-apa tentang bau itu. Perasaan saya sudah lumpuh agaknya.

Lewat malam 9 hari bulan, pada pukul 3 pagi, akhirnya saya sampai di asrama gedung senjata. Walaupun ibu mertua sudah meninggal, mayatnya masih terlantar di situ kerana dia baru sahaja meninggal beberapa jam sebelum itu. Oleh sebab ibu mertua sedang berada di kebun semasa kejadian pengeboman itu, keadaannya sangat dahsyat, seluruh tubuhnya melecur, dagu dan buah dadanya hangus terbakar. Menurut ayah mertua, dia menghidupkan lilin apabila dia tidak mendengar bunyi erangan ibu mertua dan mendapati dia sudah meninggal. Hari berikutnya, ayah mertua membina keranda kayu, memasukkan mayat ibu mertua ke dalamnya dan membakar keranda ibu di kebun kentang.

●Kematian suami
Memandangkan suami berada di rumah waktu itu, dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal atau melecur. Dia beritahu saya bahawa apabila dia terdengar ibu mertua menjerit semasa dia bekerja di kebun, suami keluar rumah untuk menyelamatkan ibunya.

Pada 15 hb. Ogos, saya bangun pada pukul 5 pagi. Walaupun suami memberitahu saya bahawa saya tidak perlu bangun begitu awal, saya tetap bangun dan memasak ladu untuk dihidangkan kepada roh ibu mertua kerana hari itu adalah hari ketujuh selepas kematiannya – hari di mana keluarga sepatutnya mengadakan upacara peringatan.  Saya juga menyediakan bubur nasi untuk kami bertiga. Apabila saya cuba menyuap bubur nasi ke mulut suami, yang terbaring di atas lantai bilik seluas tiga keping tikar tatami bersama ayahnya, dia tidak memberi sebarang respons. Rupa-rupanya dia telah meninggal dunia sebelum ayah mertua menyedarinya. Oleh sebab lalat sudah mengerumuni mayat suami, bagi membakar mayatnya secepat mungkin, saya melaporkan kepada pejabat kerajaan tempatan bahawa suami meninggal dunia pada 14 hari bulan (walaupun sebenarnya dia meninggal pada 15 hari bulan) dan membakar mayatnya pada hari itu juga. Ayah mertua sekali lagi membuat keranda kayu, kali ini untuk suami. Kami memasukkan suami ke dalam keranda itu dan membakarnya. Oleh sebab ayah mertua amat sedih semasa menghidupkan api untuk membakar mayat ibu mertua sebelum ini, dia meminta saya mengambil peranan itu kali ini, dalam upacara membakar mayat suami saya. Saya juga sebenarnya tidak sanggup untuk menghidupkan api untuk membakar seseorang yang masih lagi bernafas pagi tu, tetapi ia merupakan satu tanggungjawab dan saya pun menghidupkannya. Tetapi saya tidak dapat terus berada di situ apabila mayat suami mula terbakar. Saya cuba beredar, dan waktu itulah baru saya sedar yanag saya tidak mampu berdiri, kedua kaki saya lemah dan lembik. Saya tidak punya pilihan dan merangkak pulang ke rumah. Dengan mayat dibakar di sini sana, tapak tangan, lutut dan kaki saya melecur kerana merangkak di atas tanah yang masih panas.

Hari berikutnya, saya pergi untuk mengutip tulang suami dan tertanya-tanya mengapa siren amaran merah tidak dimatikan kerana kapal terbang musuh masih berterbangan di atas sana. Saya langsung tidak tahu bahawa perang sudahpun berakhir. Tidak lama kemudian barulah saya dapat tahu tentangnya.

●Sianida untuk membunuh diri
Di gedung senjata, semua wanita diberikan sianida. Kami disuruh untuk mengambilnya sekiranya kami diperkosa oleh askar Amerika, yang merupakan suatu keaiban bagi orang Jepun. Apabila suami meninggal, saya cuba untuk mengambil sianida, kerana berasa diri saya amat tidak berguna lagi. Semasa ayah mertua keluar rumah untuk melaporkan kematian suami ke pejabat kerajaan tempatan, saya meminum air untuk bersiap sedia mengambil sianida. Tetapi pada saat itu, tiba-tiba saya terfikir bagaimana perasaan ayah mertua apabila dia pulang nanti, apabila dilihatnya saya juga sudah meninggal dunia. Jadi saya memutuskan untuk tidak meminum racun itu, dan berfikir bahawa mati bukan satu pilihan bagi saya dan bahawa saya mempunyai tanggungjawab untuk menjaga ayah mertua. Saya potong rambut saya yang panjang dan membakarnya bersama mayat suami sambil berkata, “Abang, saya minta maaf.  Saya tidak dapat pergi bersama abang. Terimalah ini sebagai tanda kasih sayang saya.” Jika bukan disebabkan oleh ayah mertua, saya sudah pun mengambil sianida itu.

Selepas pulang ke Kampung Tonoga, saya tetap simpan sianida itu. Salah seorang abang saya menemuinya dan membakarnya. Dia berkata selagi saya menyimpannya, saya mungkin akan membunuh diri suatu hari nanti. Saya tidak mampu mengungkapkan dengan kata-kata bau racun itu terbakar.

●Kematian ayah mertua
Ayah mertua mengalami kejadian pengeboman bom atom semasa dia berada di gedung senjata dan belakang badannya teruk melecur. Itulah sebabnya mengapa dia perlu meniarap apabila tidur. Selepas kematian suami, saya merancang untuk pulang ke Kampung Tonoga bersama ayah mertua. Tetapi pada 25 hb. Ogos, dia meninggal dunia. Saya baru berumur 24 tahun dan dengan tiba-tiba saya tinggal sebatang kara di Hiroshima kerana kematian suami dan kedua orang mertua. Saya fikir saya sudah bersedia untuk mati. Tetapi saya tidak dapat melakukannya kerana saya diselubungi rasa bertanggungjawab untuk membawa abu mereka bertiga ke kampung halaman ibu dan ayah mertua dan menyerahkannya kepada keluarga di sana.

●Pulang ke Kampung Tonoga
Pada 6 hb. September, akhirnya saya pulang ke Kampung Tonoga dengan membawa abu suami, ibu mertua dan ayah mertua bersama-sama saya. Saudara-mara suami mengadakan upacara pengebumian untuk keluarga saya di rumah mereka. Oleh sebab saya sangat kurus dan mengalami kesengsaraan pada waktu itu, ibu, ayah dan abang-abang saya sentiasa melindungi saya. Saya masih hidup hari ini adalah berkat jagaan mereka. Mempunyai ibu, bapa dan adik-beradik merupakan suatu anugerah. Selera makan mereka amat mudah berjangkit, dengan yang demikian saya juga turut berselera untuk makan, Pada masa kami tidak mempunyai cukup makanan, saya akan paksa diri saya untuk makan walaupun sebenarnya saya tidak begitu mahu makan. Ini kerana saya fikir, tidak memakan apa-apa akan menjejaskan kesihatan. Saya rasa itu benar-benar telah membantu saya.

Selepas pulang ke Kampung Tonoga, saya melawat Bandar Hiroshima beberapa kali bersama ayah. Suatu hari, seorang warga asing yang merupakan bekas tahanan perang mengejar kami di bandar. Kami memang sudah sedia kepenatan kerana berjalan ke sana ke mari di bandar. Bahkan, ada kalanya kami terpaksa meranduk sesuatu kawasan yang tidak mempunyai jalan selepas dilanda puting beliung Makurazaki. Walaupun kami berjaya melarikan diri daripada warga asing itu dengan berlari lintang-pukang, saya masih tidak dapat melupakan ketakutan yang saya rasai waktu itu.

●Perkahwinan kedua
Pada tahun 1957 saya berkahwin sekali lagi dengan seorang lelaki yang mempunyai 3 anak semasa anak bongsunya berumur dua tahun. Pada mulanya, saya berniat untuk menolak pinangannya kerana saya tiada pengalaman membesarkan anak. Namun, selepas saya berjumpa dengan anak-anaknya, mereka sangat comel sehinggakan saya berubah fikiran dan membuat keputusan untuk berkawin dengan lelaki itu. Saya berfikir saya mungkin akan bahagia membesarkan anak-anak ini dengan secebis harapan untuk mempunyai anak sendiri.

●Status kesihatan
Banyak kali saya bimbang tentang keadaan fizikal saya. Pada masa ini, saya perlu berjumpa semua jenis doktor. Apabila saya pergi ke doktor gigi berdekatan untuk mencabut gigi, doktor gigi itu menyuruh saya membawa doktor kerana darah saya tidak membeku dengan normal.
Pada tahun 2001, lebih kurang 7 tahun lalu, saya menjalani pembedahan bagi barah ovari. Oleh sebab barah saya telah merebak ke usus, pembedahan itu amat serius dan sebanyak 50cm usus saya terpaksa dibuang. Barah ovari adalah penyakit yang sukar disembuhkan dan ia sudah merebak ke usus. Oleh itu, hakikat bahawa saya masih hidup hingga sekarang ini merupakan suatu keajaiban.

Semasa saya menghidap barah ovari itu, makanan terasa pahit. Kebelakangan ini, saya mula berasa seperti itu lagi, oleh itu saya pergi berjumpa doktor. Di hospital, saya didiagnos dengan pemusnahan usus dan perlu ditahan di hospital.

●Dedahan kepada radiasi bom atom
Walaupun saya tidak mengalami sebarang lecur kerada terdedah secara langsung kepada radiasi bom atom, lalat bertelur di seluruh tubuh saya, termasuk tangan, kaki dan belakang sebelum ulat yang tidak terkira banyaknya menguit-uit keluar dari kulit saya. Rasa sakitnya seperti disengat oleh lalat pikat. Saya masih mempunyai parut yang ditinggalkan oleh ulat-ulat itu di belakang saya, oleh itu saya tidak mahu mandi di tempat mandi awam termasuk kolam air panas.

Doktor-doktor di hospital bertanya kepada saya apa yang berlaku apabila melihat belakang saya. Saya beritahu mereka bahawa ia disebabkan oleh kejadian pengeboman bom atom. Ada juga doktor yang bertanya jika belakang badan saya itu terdedah semasa kejadian pengeboman itu, tetapi ia tidak begitu.

Keamanan adalah amat penting. Saya percaya bahawa melancarkan perang adalah suatu perbuatan yang salah. Sedangkan ada masalah di rumah pun boleh membuatkan kita tidak gembira, inikan pula peperangan. Oleh yang demikian, kita harus mengawal diri agar tidak menyebabkan sebarang masalah.

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語