国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Kamu Bertuah 
MIYACHI Toshio(MIYACHI Toshio) 
Jantina Lelaki  Umur ketika serangan bom atom 27 
Tahun tulisan dibuat 2009 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●Kehidupan waktu itu
Saya lahir pada tahun 1917 di Kampung Nakanosho, Daearah Mitsugi (hari ini dipanggil Innoshima-Nakanosho-cho, Bandar Onomichi). Ayah saya bekerja di Pejabat Pos Nakanosho, manakala ibu saya, surirumah sepenuh masa, mengusahakan kebun kecil. Dua tahun selepas saya lahir sebagai abang sulung, selepas kelahiran tiga orang kakak, adik lelaki bongsu saya lahir. Adik perempuan saya meninggal pada tahun 1924, tidak lama selepas dilahirkan. Selepas itu, ibu turut meninggal dunia. Sejak itu, saya tinggal seorang diri bersama ayah.

Pada tahun 1939, saya dikerah dan ditugaskan ke Divisyen Ke-5, Artileri Medan, Rejimen Ke-5. Sebagai ketua skuad, saya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain di Vietnam dan China selama tiga tahun. Selepas bersara, saya bekerja di Cawangan Hikari Gedung Beli-belah Marukashi yang diusahakan oleh sepupu saya. Pada tahun 1943, saya bertukar kerja dan bekerja di pejabat cawangan Hikari Syarikat Pengilangan Keluli Miyaji yang diusahakan oleh datuk sebelah ayah. Sebab saya bertukar kerja adalah lokasi ibu pejabat syarikat yang baru itu lebih dekat dengan rumah ayah, jadi saya fikir mudah bagi saya untuk menjaga ayah. Saya berkahwin sekitar waktu saya bertukar kerja. Anak lelaki sulung saya dilahirkan pada bulan April 1944.

Pada bulan April 1945, saya menerima surat kerahan tenaga buat kali kedua. Kali ini, saya melarikan isteri dan anak ke Innoshima. Saya sekali lagi ditugaskan ke Artileri Medan, Rejimen Ke-5, tetapi kali ini saya bekerja untuk ibu pejabat rejimen sebagai penjaga daftar ketenteraan. Dengan trup utama dihantar ke pelbagai tempat di seluruh negara untuk mempertahankan tanah besar, bilangan askar yang tinggal di ibu pejabat sangat terhad. Antara askar-askar itu, tugas utama saya sebagai penjaga daftar ketenteraan ialah membuat daftar ketenteraan dan mengedarkan buku panduan ketenteraan. Malah saya tidak perlu menjalani olah gerak ketenteraan.

Sarjan Okada, pegawai atasan saya, yang berasal dari Kampung Kobatake, Daerah Jinseki (hari ini dikenali sebagai Jinsekikogen-cho Daerah Jinseki), merupakan seorang lelaki yang hebat. Oleh sebab kami berdua bekerja dalam bilik yang sama, dia amat menyenangi saya.

Pada bulan Jun 1945, nama trup saya ditukar kepada Simpanan Artileri Daerah Ketenteraan Chugoku (Unit Ke-111 Chugoku). Unit ini ditempatkan di sebelah barat Istana Hiroshima. Beberapa berek dua tingkat tentera dibina untuk mengelilingi parit di mana empat pasukan meriam ditempatkan.

●Situasi sebelum pengeboman atom
Selepas keluar daripada tentera nanti, saya bercadang untuk kembali bekerja di pejabat lama saya. Syarikat saya juga merancang perkara yang sama untuk saya. Sepucuk surat daripada presiden dihantar ke unit artileri untuk menyampaikan pesanan yang bertanya jika saya boleh pergi ke Bandar Hikari untuk menghadiri satu mesyuarat yang penting. Namun, saya amat keberatan untuk meminza izin keluar kerana saya tidak mahu dikata oleh rakan setugas bahawa saya meninggalkan stesen kononnya atas urusan perniagaan kerana tempat kerja saya sebelum itu adalah milik saudara-mara. Semasa saya sedang dalam dilema itu, Sarjan Okada amat bertimbang rasa dan berkata, “Jangan bimbang. Saya akan mintakan kebenaran bagi pihak kamu.” Terima kasih kepada beliau, kebenaran untuk keluar dikeluarkan khas untuk saya dan saya berada di Bandar Hikari pada 5 hb. Ogos (Ahad). Kebenaran itu termasuk syarat bahawa saya akan mengambil kereta api yang dijadualkan untuk sampai di Stesen Hiroshima pada pukul 9:00 pagi keesokan paginya, 6 hb. Ogos (Isnin) dan kembali ke unit saya.

Pada 6 hb. Ogos, saya bangun pada pukul 4:00 pagi dan menaiki kereta api dari Stesen Hikari selepas bersarapan pagi. Pada pukul 8:15, pada masa pengeboman itu, saya percaya kereta api yang saya naiki sedang berada di kawasan betul-betul sebelum Stesen Iwakuni. Oleh sebab saya tidak begitu dapat mendengar bunyi dari luar kerana bunyi kereta api yang amat bising, saya langsung tidak terdengar bunyi pengeboman bom itu. Tetapi semua penumpang mendongak ke langit melalui tingkap di sebelah kanan (dalam keadaan menghadap ke arah yang dituju kereta api) sambil berkata, “Awan asap besar seperti belon iklan naik ke langit Hiroshima.” Tanpa sebarang pengumuman, tanpa sesiapa tahu apa yang sedang berlaku, kereta api saya terus bergerak sehingga ia berhenti secara tiba-tiba di Stesen Itsukaichi. Di stesen tersebut, dengan beberapa kereta api sebelum kami juga berhenti di situ, semua penumpang diarahkan untuk turun kerana kereta api tidak dapat meneruskan perjalanan lagi menuju ke Hiroshima. Saya bingung kerana saya telah berjanji untuk kembali ke unit sejurus selepas saya tiba di Hiroshima pada pukul 9:00.

Di depan Stesen Itsukaichi, dengan asap hitam berkepul-kepul keluar dari kepala kereta api, keadaan menjadi gelap gelita sehingga saya tidak dapat merasakan jika ada orang bergerak-gerak.  Tidak lama kemudian, asap hitam mula hilang dan saya ternampak sebuah lori polis tentera berhenti di kawasan berdekatan. Mereka kelihatan baru sahaja selesai sesuatu urusan dan apabila saya meminta mereka menghantar saya ke Istana Hiroshima dengan harapan untuk kembali ke unit saya, mereka terus sahaja bersetuju. Mereka berdua, seorang korporal dan seorang lagi sarjan. Mereka kelihatan sangat bertenaga tanpa sebarang luka luaran, tentu mereka tidak terdedah terus kepada radiasi bom atom. Jika mereka masih lagi hidup sekarang ini, saya ingin bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

●Situasi di bandar selepas pengeboman bom atom
Walaupun saya tidak ingat laluan mana yang mereka ambil dari Itsukaichi ke Hiroshima, saya rasa mereka memandu di atas jalan lurus yang melalui beberapa keping sawah padi. Sepanjang jalan, kelihatan ramai orang bertali arus berkejar-kejaran ingin menyelamatkan nyawa daripada bencana itu. Selepas memasuki Bandar Hiroshima, mereka memandu di sepanjang jalan trem. Kelihatan seperti semua orang sudah dipindahkan ke tempat perlindungan. Bandar itu kelihatan seperti padang jarak padang tekukur. Bahkan seekor anjing atau pun kucing juga tidak kelihatan.

Walaupun sebelum itu saya meminta mereka menghantar saya ke Istana Hiroshima, mereka menurunkan saya betul-betul sebelum Jambatan Aioi. Unit saya tidak jauh dari jambatan itu, jadi saya fikir saya boleh berjalan kaki ke sana.  Tetapi sebenarnya tidak boleh, kerana jalan panas terbakar. Saya memakai kasut bertali yang dibalut dengan kelasak, tetapi tetap tidak dapat meneruskan perjalanan walaupun semeter dan terpaksa berhenti di jambatan.

Rasanya sejam berlalu semasa saya mundar-mandir berjalan 50 cm ke arah istana dan patah balik 50 cm ke Jambatan Aioi. Tiba-tiba hujan lebat mula turun seperti jarum mencucuk-cucuk ke dalam kulit saya. Hujan itu berwarna hitam, dan membasahi kawasan itu seperti minyak hitam yang dipercikkan ke seluruh kawasan itu. Tetapi apabila saya mengesat muka saya yang basah dengan tangan, ia tidak terasa berminyak langsung. Tanpa tempat berteduh daripada hujan di kawasan yang hangus terbakar itu, saya basah kuyup dan sekadar mampu menunggu hujan berhenti dengan sendirinya.

Selepas hujan berhenti, suhu berubah secara mendadak dan ketara lebih rendah seperti suhu pada musim luruh. Jalan yang tadinya panas juga sudah cukup sejuk untuk membolehkan saya berjalan di atasnya.

Apabila saya sampai di unit saya, berek itu berada dalam keadaan yang menyayat hati. Tapak berek itu tandus seolah-olah tidak pernah ada apa-apa di situ, semua bangunan musnah, terbakar menjadi abu, malah abunya juga lenyap dibawa air hujan.

Sarjan Okada sedang nazak kerana terbakar seluruh tubuhnya, tetapi beliau masih bernafas. Oleh sebab kesan terbakar itu telah mengubah rupanya seratus peratus, saya langsung tidak dapat mengecamnya sehinggalah dia bercakap dengan saya, “Miyachi, kamu bertuah!” Saya beredar sebentar, tetapi apabila saya kembali ke tempat itu pada waktu malam, saya gagal menemui Sarjan Okada. Tentu beliau sudah dipindahkan ke tempat lain.

Walaupun ingatan saya agak samar-samar, saya rasa saya bertemu Jeneral Shunroku Hata daripada Angkatan Tentera Ke-2 sejurus selepas hujan hitam pada 6 hb. Ogos. Saya diperintahkan oleh seorang Ajutan yang berada bersama Jeneral waktu itu, “Kamu, bawa Jeneral Hata menyeberang Sungai Temma, dan jangan biarkan dia basah!” Jeneral Hata seorang yang bertubuh kecil. Saya mengikut perintah menyeberang sungai itu dengan mendukung Jeneral di belakang saya, tetapi tubuhnya langsung tidak terasa berat di atas belakang saya.

●Operasi menyelamat
Di Padang Perbarisan Barat, lebih kurang 90 orang askar yang terselamat daripada pengeboman bom atom berkumpul. Saya dan beberapa orang askar lain terlibat dalam membakar mayat. Beratus-ratus mayat perlu dibakar, seperti, 250 mayat hari ini dan 300 lagi keesokan harinya.

Apa yang terpahat di fikiran saya dalam operasi itu ialah dua askar Amerika yang mati terlantar di tangga Istana Hiroshima. Mereka tentunya dua orang POW daripada pihak A.S. yang ditahan di bangunan berdekatan Istana Hiroshima pada waktu itu.

Pada 6 hb. Ogos, pada hari pengeboman itu, tiada apa yang boleh dimakan, saya membawa 30 orang bawahan saya ke dewan perbandaran untuk mendapatkan sedikit biskut keras. Di dewan perbandaran itu, situasinya berbeza daripada apa yang kami jangkakan. Kami bertengkar dengan pihak dewan  sambil melepaskan apa yang berbuku di hati dan kami gagal mendapat walau sekeping biskut. Pada hari itu, kami tidak mempunyai pilihan lain selain daripada meminum air panas bersama gula untuk menghilangkan rasa lapar. Dari 7 hb. Ogos, kami menerima nasi kepal dan biskut keras yang dicatu berkat aktiviti pihak penyelamat dari bandar lain.

Sehingga penghujung Ogos, kami meneruskan operasi menyelamat, dan tidur berbumbungkan langit pada waktu itu.
Pada 31 hb. Ogos, arahan untuk membubarkan semua unit akhirnya dikeluarkan. Apabila unit dibubarkan, pelbagai bekalan yang disimpan di gudang tentera diagih-agihkan kepada para askar. Saya mendapat pakaian seragam dan selimut tentera. Sesetengah askar yang datang dari kawasan luar bandar mendapat kuda tentera dan menunggangnya untuk pulang ke rumah.

Pada 1 hb. September, saya berjaya menaiki kapal dari Pelabuhan Itozaki dan pulang ke Innoshima.

●Penyakit
Lebih kurang dua bulan selepas pulang ke Innoshima, semasa membuang air kecil di kebun, saya terkejut apabila mendapati saya mengeluarkan lebih kurang 1-sho (lebih kurang 1.8 liter) air kencing berwarna perang gelap. Selepas dari itu, air kencing saya terus berwarna perang gelap. Tahun berikutnya, saya dimasukkan ke hospital kerana masalah gastrousus. Kemudiannya saya juga dimasukkan ke hospital kerana kegagalan hati. Pada tahun 1998, saya mendapat barah pundi kencing dan dimasukkan ke hospital dan menerima rawatan barah sejak dari itu.

Pada bulan September 1960, saya menerima Sijil Buku Kesihatan Mangsa Bom Atom yang Terselamat. Sebelum menerima sijil itu, saya terfikir-fikir adakah saya hendak menerimanya atau tidak dan akhirnya saya membuat keputusan untuk mendapatkannya selepas menerima nasihat daripada pegawai pejabat perbandaran. Selepas dari itu, setiap kali saya jatuh sakit dengan penyakit yang kelihatan seperti berpunca daripada pengeboman bom atom, saya berasa bersyukur kerana mempunyai sijil itu.

●Kehidupan selepas perang
Selepas perang, saya membuka kedai runcit kecil di Innoshima. Memandangkan ia sebuah kedai runcit luar bandar, kami tidak hanya menjual makanan tetapi juga beras dan gandum kilang, minyak bertapis dan kemudiannya kami menjual perkakas rumah. Kehidupan waktu itu tidaklah senang tetapi saya berjaya menghantar anak ke universiti dengan berjimat cermat.

Pada tahun 1946, tidak lama selepas anak perempuan sulung saya dilahirkan, anak dan isteri saya meninggal dunia. Selepas saya mengahwini isteri saya sekarang ini pada tahun 1947, saya mendapat dua orang lagi anak lelaki dan seorang lagi anak perempuan. Oleh sebab anak-anak saya yang dilahirkan selepas perang semuanya lemah dari segi fizikal, saya mengesyaki bahawa ia berpunca daripada diri saya yang terdedah kepada radiasi bom atom. Isteri saya mungkin memberitahu anak perempuan kami untuk tidak memberitahu sesiapa bahawa dia merupakan mangsa bom atom generasi kedua kerana perkara itu boleh menghalangnya daripada berkahwin kelak.

●Pegawai kanan meninggal dalam kejadian pengeboman atom
Sekiranya perang tetap berterusan selepas pengeboman bom atom itu, Jepun mungkin berada dalam situasi yang amat kritikal. Saya percaya bahawa keamanan yang kita nikmati sekarang adalah berkat daripada banyak pengorbanan.

Hakikat bahawa saya terlepas daripada terdedah secara langsung kepada radiasi bom atom dan bahawa saya masih hidup sehingga hari ini adalah atas kemurahan hati Sarjan Okada yang sudi mendapatkan kebenaran untuk saya keluar. Saya tidak tahu di mana sarjan Okada berada sejak 6 hb Ogos di mana dia berkata kepada saya, “Miyachi, kamu bertuah.” Hal ini terus menghantui fikiran saya selama berpuluh-puluh tahun lamanya. “Sarjan, saya ingin menyampaikan rasa syukur saya yang tidak terhingga kepada sarjan.” Memahami hasrat saya ini, anak-anak saya mencari maklumat mengenai beliau di Internet, menghubungi beberapa tokong satu per satu untuk bertanyakan tentang beliau dan akhirnya menemui kubur Sarjan Okada.

Pada tahun 2007, saya dan semua ahli keluarga melawat kubur Sarjan Okada. Selepas memberikan penghormatan di kuburnya dan meluahkan rasa syukur kami kepada rohnya, akhirnya beban yang saya rasai selama ini hilang dari dada ini.

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語