国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Sentimen untuk Ibu Saya 
KAWAGUCHI Hiroko(KAWAGUCHI Hiroko) 
Jantina Perempuan  Umur ketika serangan bom atom
Tahun tulisan dibuat 2008 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●Situasi pada dan sebelum 6 hb. Ogos
Pada waktu itu, kami merupakan sebuah keluarga dengan empat orang ahli—ibu, abang, kakak dan saya—tinggal di rumah di Kamitenma-cho. Ayah saya, Toshio Omoya, meninggal dunia dalam perang di China pada tahun 1938. Oleh sebab saya masih kecil lagi semasa ayah meninggal, saya hanya kenal wajah ayah melalui gambar. Menurut cerita keluarga, semasa saya masih kanak-kanak, apabila saya terlihat gambar ayah, saya akan berkata, “Ayah tak dapat keluar dari gambar kerana tiada siapa bawakan terompah kayunya kepadanya.”

Ibu saya, Shizuko membesarkan kami seorang diri. Ibu saya seorang yang amat mementingkan pendidikan berbanding ibu bapa yang lain. Walaupun waktu itu zaman perang, dia membenarkan saya belajar kaligrafi dan tarian balet. Apabila abang saya mengambil peperiksaan kemasukan sekolah menengah, ibu mengunjungi sebuah tokong sebanyak 100 kali setiap pagi untuk mendoakan kejayaan abang saya dalam peperiksaannya. Dia seolah-olah berfikir bahawa selepas suaminya meninggal dunia, satu-satunya perkara yang dapat diberikannya kepada anak-anaknya ialah pendidikan.

Oleh yang demikian, ibu bekerja keras setiap hari dari pagi hingga malam, melakukan beberapa kerja pada waktu yang sama. Saya ingat lagi apabila dia menghantar surat khabar pagi, abang dan kakak akan membantunya. Saya masih kecil tetapi saya berjalan kaki untuk bersama-sama mereka.

Pada zaman itu, memandangkan setiap orang melayan jiran mereka seperti saudara mereka sendiri, semasa ibu sibuk bekerja saban hari, kami kanak-kanak dijaga dan dibantu oleh jiran tetangga. Keluarga pakcik saya juga tinggal berdekatan dan keluarga datuk saya tinggal di Hirose-motomachi, pekan bersebelahan.

Pada waktu itu, banyak sekolah rendah menggalakkan perpindahan berkumpulan dan perpindahan ke rumah saudara-mara pelajar yang tinggal di desa. Saya merupakan pelajar tahun tiga di Sekolah Rendah Tenma, dan menyertai perpindahan berkumpulan ke sebuah tokong di Yuki-cho bersama kakak saya  Sumie, yang merupakan pelajar tahun enam di sekolah yang sama. Walaupun ibu dan abang saya Toshiyuki datang melawat kami sambil membawa buah tangan seperti kentang, amat payah untuk kakak dan saya yang masih kecil pada waktu itu menjalani kehidupan tanpa ibu bapa. Oleh sebab ibu memberitahu saya bahawa jika kami meninggal, kami akan meninggal bersama-sama, saya minta ibu membawa saya pulang ke rumah dan saya pulang ke rumah di Kamitenma-cho. Bila diimbas kembali, kesemua kami mungkin terselamat jika saya terus tinggal di tempat perlindungan itu kerana ibu dan abang tentu datang melawat saya dan kakak semasa kejadian pengeboman itu.

●Situasi semasa 6 hb. Ogos
Pada 6 hb. Ogos, memandangkan sekolah ditutup, saya keluar bermain di kawasan berhampiran bersama rakan-rakan.

Apabila terlihat B-29 terbang di atas dengan meninggalkan kesannya di awan, saya segera menutup mata dan telinga dengan kedua tapak tangan saya. Saya mungkin melakukannya tanpa sedar kerana kami telah dilatih untuk berbuat demikian. Jadi saya tidak nampak pancaran cahaya kerana saya menutup mata.

Semasa kejadian pengeboman atom itu, saya amat bernasib baik kerana saya berada di bawah cucur atap rumah dan tidak mengalami sebarang kecederaan atau merasai sebarang kepanasan kerana saya terlindung di belakang dinding. Kawan saya hanya mengalami cedera ringan. Oleh itu kami keluar dari rumah melalui rekahan tanpa bantuan sesiapa dan pulang ke rumah.

Apabila saya sampai di rumah, ibu, yang tercedera dalam letupan  bom atom itu, sedang menunggu saya. Pada hari itu, ibu keluar untuk mendapatkan beras yang dicatu pada waktu itu dan mengalami kejadian pengeboman itu dalam perjalanan pulang.  Sebaik sahaja saya sampai di rumah, ibu mengambil beg bantuan kecemasan dan lari menyelamatkan diri daripada bencana itu bersama saya.

Saya melihat sekeliling dan ternampak rumah-rumah runtuh dan selusur jambatan terbakar. Kami menyeberangi jambatan dan menuju ke arah Koi. Dalam perjalanan untuk menyelamatkan diri, seorang individu yang hangus terbakar meminta bantuan dan merayu, “Beri saya sedikit air, tolong beri saya sedikit air.” Tetapi pada waktu itu kami amat terdesak untuk menyelamatkan diri dan kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantunya. Saya masih kesal kerana tidak langsung bertanyakan namanya.

Apabila akhirnya kami sampai di Sekolah Rendah Koi, saya sedar bahawa saya berkaki ayam. Saya tertanya-tanya mengapa saya tidak tercedera walaupun saya berlari meredah runtuhan bangunan.

Setiap ceruk di sekolah itu dipenuhi dengan mereka yang tercedera, termasuk bilik darjah dan koridor. Saya suruh ibu mendapatkan rawatan di sana. Ibu melecur teruk di tangan, kaki dan belakang dan melecur sedikit di muka, dan hentakan yang kuat pada kepalanya.  Rawatan untuk ibu hanyalah sedikit ubat yang disapu pada lukanya. Bila diimbas kembali, saya tidak pasti jika luka ibu benar-benar disapu dengan ubat.
Selepas itu, ibu dan saya menuju ke tempat perlindungan khas di Ogawachi-machi, sebagai mengikut arahan pihak bandar kami. Apabila kami sampai di tempat perlindungan itu, hujan hitam mula turun dari langit. Kami berteduh daripada hujan menggunakan sekeping besi yang saya kutip berdekatan kami. Tidak lama selepas hujan berhenti, abang saya Toshiyuki datang.

Semasa pengeboman itu, abang merupakan pelajar tahun dua di Sekolah Industri Matsumoto, dan dikerah untuk berkhidmat di kilang di Pulau Kanawajima, luar pantai Ujina. Menurutnya, walaupun dia sendiri mengalami kejadian pengeboman itu bersama rakan-rakannya dekat dengan Jambatan Miyuki semasa dalam perjalanan ke pusat kerahan, di berpatah balik dan pulang ke rumah kerana bimbangkan kami. Sekitar pusat itu, iaitu ibu pejabat Kereta Api Elektrik Hiroshima, memandangkan jalan tidak boleh dilalui kerana kedua-dua arah jalan terbakar, dia menujuu ke Sekolah Menengah Shudo, menyeberangi Sungai Motoyasu dan Ota dengan bot, menyeberang jambatan dan akhir sekali sampai di Kanon-machi. Semasa dalam perjalanan pulang, walaupun seseorang meminta dia membantu mangsa yang tersepit di bawah runtuhan bangunan sekolah tadika, dia tidak dapat melakukannya. Dia bergegas untuk memastikan keluarganya selamat dengan secepat mungkin. Dia beritahu saya yang dia rasa bersalah terhadap mereka.

Apabila dia sampai di rumah, api sedang menghampiri dan hampir menjilat rumah kami. Kemudian dia beritahu saya bahawa dia segera memadamkan api itu menggunakan baldi air. Selepas memastikan tiada sesiapa di rumah, dia menuju ke Ogawachi-machi untuk mencari kami. Di Ogawachi-machi, akhirnya kami dapat berkumpul semula.

Menurut ibu, pada pagi 6 hari bulan, kakak memberitahu ibu bahawa dia tidak mahu pergi ke sekolah. Tetapi ibu tidak membenarkannya ponteng sekolah dengan harapan kakak akan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tinggi Perempuan Yamanaka. Ibu menghantar kakak ke sekolah pagi tu seperti biasa, tetapi kakak tidak pulang ke rumah.

●Situasi dari 7 hari bulan
Sehari selepas kejadian pengeboman bom atom itu, abang pergi ke Sekolah Rendah Tenma untuk mencari kakak yang masih belum pulang ke rumah. Berdasarkan maklumat bahawa kakak sedang membersihkan pejabat pengetua semasa pengeboman berlaku, abang mencari kakak tetapi tidak menjumpai apa-apa dalam runtuhan bangunan itu. Bangunan sekolah runtuh dan segalanya menjadi abu dalam kebakaran semasa kejadian.

Ibu, abang dan saya tinggal di tempat perlindungan di Ogawachi-machi selama beberapa hari. Tetapi ibu terlalu bimbangkan kakak, jadi kami membuat keputusan untuk pulang ke rumah.

Sejak kami pulang ke rumah, ibu terlantar sakit. Satu-satunya rawatan yang ibu terima ialah ubat sapu yang disapu pada lukanya di Sekolah Rendah Koi.

Oleh sebab rumah kami tidak terbakar, jiran tetangga kami meminta kelengkapan tidur kami. Apabila mendapat tahu tentang perkara itu, makcik kami, Sueko Omoya marah dan bertanya kepada kami, “Apa kena dengan kamu ini? Kamu dengan baik hati bagi kelengkapan tidur kamu kepada orang lain dan biarkan ibu kamu tidur tak berselimut, hah?” Oleh sebab abang hanyalah pelajar tahun dua sekolah industri dan saya hanya pelajar tahun tiga sekolah rendah, iaitu seperti pelajar maktab rendah dan sekolah rendah pada masa sekarang, tiada apa yang dapat kami lakukan untuk menghalang jiran daripada mengambil barang-barang tersebut. Selepas makcik datang ke rumah kami, dia menjaga ibu, abang dan saya. Di rumah makcik, suaminya Shigeo, adik lelaki ayah saya, yang dikerah ke unit tentera di Yamaguchi, pulang ke rumah di Hiroshima hanya dua hari selepas kejadian pengeboman bom atom, dengan andaian bahawa isteri serta anak perempuannya Nobue berada di Hiroshima. Jika tidak kerana pakcik dan makcik, keluarga saya tentu mengalami kesukaran yang amat sangat kerana hanya ada kanak-kanak dan ibu yang terlantar sakit.

Walaupun ibu gembira lecur di mukanya cepat sembuh, tetapi lecur teruk di belakang badannya tidak mahu sembuh. Apabila saya berfikir bahawa belakang badan ibu semakin pulih kerana kulitnya kering, tiba-tiba kulitnya mengelupas sepenuhnya. Ulat menguit-uit di bawah kulitnya. Tiba-tiba sahaja ulat-ulat itu merebak dan memenuhi seluruh belakang badan ibu. Mustahil untuk membuang kesemuanya. Apabila abang dan saya mula tidur di sebelah ibu, yang terbaring di dalam kelambu, saya tidak dapat menahan  bau ulat yang menusuk hidung.
Walaupun kecederaannya amat teruk, ibu langsung tidak mengeluarkan kata-kata seperti, “Sakitnya” atau “Gatalnya,” atau meminta-meminta air. Oleh sebab ibu hanya meminta, “Saya nak makan buah pic. Saya nak makan buah pic,” makcik pergi membelinya di Iguchi. Bila dikenang kembali, mungkin ibu amat dahaga sebenarnya.

Pada pagi 4 hari bulan September, ibu meninggal dunia. Saya sedar kematiannya hanya selepas makcik memberitahu saya, “Hiroko! Ibu kamu sudah meninggal.” Abang dan saya benar-benar tidak sedar tentang hal itu sebelum itu. Bila diimbas kembali, saya hairan bagaimana ibu boleh hidup walaupun untuk sebulan kerana kepalanya cedera parah, tempurung kepalanya merekah dan terbuka. Apabila askar mengangkut mereka yang cedera di dalam lori untuk cuba menyelamatkan mereka, ibu langsung tidak mahu meninggalkan rumah selagi dia tidak tahu di mana kakak berada. Ada seorang mangsa yang mengalami kecederaan yang sama teruknya seperti ibu dan pulih setelah mendapatkan rawatan di pinggir bandar. Bimbangkan kakak yang hilang, ibu meneruskan hidup dengan bersandarkan pada harapan bahawa dia akan bertemu semula dengan kakak.

Kami membakar mayat ibu di bekas tapak pembakaran mayat Koseikan pada hari dia meninggal dunia. Tetapi tiada perasaan sedih menyelubungi diri ini, air mata juga tidak mengalir dari mata ini. Emosi saya tentu sudah lumpuh. Pada hari itu, hujan turun dan mayat ibu mengambil masa yang lama untuk terbakar menjadi abu.

Di bandar, semua bangunan runtuh dan kesan kebakaran merentasi seluruh kawasan. Kami dapat lihat Stesen Hiroshima dan Ninoshima dari rumah kami. Mayat bergelimpangan di sana sini. Mayat di dalam sungai ditarik keluar dan dibakar oleh askar. Walaupun ada beberapa mayat terbiar di atas tanah selama lebih sebulan, kami tidak menghiraukannya apabila kami berjalan melewatinya. Memandangkan kami tidak tahu apa-apa tentang bom atom dan kami juga tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan pada waktu itu, tanpa ragu-ragu kami makan sahaja makanan yang terdedah kepada radiasi, seperti kentang yang ditanam di kebun orang lain dan beras yang tertimbus di bawah tanah yang tercemar.

●Kehidupan selepas pengeboman bom atom
Tidak lama selepas ibu kami meninggal, kami pergi ke Kampung Midorii di mana kami boleh bergantung hidup pada saudara mara, dan meminta mereka membenarkan kami tinggal di bangsal mereka. Datuk dan nenek sudah pun sampai di sana. Semasa kejadian pengeboman, datuk, Tomekichi Omoya dan nenek, Matsuno terselamat di ruang tamu rumah mereka. Namun, selepas mereka sampai di Kampung Midorii, datuk yang biasanya sihat dan ceria tiba-tiba menjadi kurang sihat dan meninggal dunia lima hari selepas kematian ibu. Kami masih tidak mendengar apa-apa berita daripada Pakcik Shoso, yang tinggal bersama datuk dan nenek di Hirose-motomachi, dan, menurut mereka pakcik berada di pintu masuk semasa pengeboman berlaku.

Di Kampung Midorii, kami menjadi keliru disebabkan oleh banyak perkara yang agak berbeza daripada apa yang kami alami sepanjang hidup kami sebelum itu. Selepas belajar di sekolah di Kampung Midorii selama lebih kurang setahun, kami pulang ke Hirose. Kami semua sentiasa bersama, kami ratakan tanah dan bina sebuah pondok sebagai tempat berteduh. Makcik dan pakcik bertindak sebagai ibu dan bapa angkat kami dan membesarkan saya dan abang seperti anak kandung mereka sendiri. Saya langsung tidak berasa kesunyian kerana kematian ibu bapa.

Namun, apabila saya meningkat remaja, saya mula merindui ibu dan ayah kandung saya. Melihat sepupu yang dibesarkan bersama saya seperti adik dan kakak kandung, melihat dia belajar dengan tutor persendirian sejak sekolah rendah lagi, saya berasa cemburu dengannya dan rasa sunyi sedikit mencengkam hati ini.  Saya tinggal bersama keluarga pakcik sehingga saya berkahwin. Memandangkan pakcik merupakan pembuat perabot, saya bekerja dengannya sebagai penjaga akaun.

●Perkahwinan dan penyakit
Dahulu, ramai orang menyembunyikan identiti mereka sebagai mangsa bom atom. Wanita terutamanya, ramai yang tidak memohon buku panduan mangsa bom atom dan menyembunyikan hakikat bahawa mereka mangsa bom atom, bagi memenuhi matlamat mereka untuk berkahwin. Walaupun sekarang ini saya amat bersyukur dengan buku panduan itu, saya juga mengambil masa yang agak lama sebelum memohonnya. Berkaitan perkahwinan, saya percaya yang saya akan berkahwin dengan lelaki yang akan dicarikan oleh makcik dan pakcik. Akhirnya, saya berkahwin melalui temu duga perkahwinan. Nasib baik, suami saya tidak kisah tentang diri saya yang merupakan mangsa bom atom.

Selepas berkahwin, saya bimbang tentang anak yang bakal saya lahirkan. Saya menghidap barah tiroid. Abang dan sepupu juga menghidap barah. Anak perempuan saya ditumbuhi tumor saraf akoustik. Saya tertanya-tanya adakah penyakit anak saya itu berpunca daripada kesan bom atom.

●Harapan untuk keamanan
Saya selalu ceritakan kisah saya mengenai pengeboman bom atom kepada anak-anak. Saya juga ada membawa mereka ke Muzium Peringatan Keamanan dan menceritakan kepada mereka situasi semasa kejadian pengeboman tersebut.

Walaupun pada masa itu saya kesuntukan masa dalam kehidupan harian, malah saya juga tidak ada masa untuk menjenguk kubur keluarga, sekarang ini saya kerap berbuat demikian dan berbual-bual dengan jiran lama di sana sebelum pulang ke rumah. Sekiranya ibu masih hidup, saya akan lakukan perkara-perkara yang menggembirakannya dan memberitahu dia betapa saya sayangkannya. Oleh itu, bila saja saya bertemu seseorang yang sebaya dengan ibu, saya tidak boleh tinggalkan mereka sendirian kerana hati saya meronta-rota ingin melakukan sesuatu untuk menggembirakan mereka seperti apa yang saya ingin lakukan untuk ibu.

Dengan begitu banyak nyawa yang terkorban semasa kejadian pengeboman itu, saya benar-benar bersyukur atas kesihatan yang saya nikmati hari ini. Selain itu, apabila memikirkan tentang ibu yang telah tiada, saya ingin hidup lama dan penuh bersemangat demi anak-anak saya.

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語