国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Pengalaman Saya tentang Pengeboman Bom Atom 
TANAKA Tsunematsu(TANAKA Tsunematsu) 
Jantina Lelaki  Umur ketika serangan bom atom 31 
Tahun tulisan dibuat 2008 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●Kehidupan waktu itu
Pada waktu itu, saya berumur 31 tahun bekerja di Chugoku Haiden Corp. (sekarang ini dipanggil Chugoku Electric Power Co.) di Komachi, dan tinggal di rumah sewa di Otemachi bersama isteri, Mikie dan dua orang anak (lelaki berusia tiga tahun dan perempuan berusia tujuh bulan). Memandangkan saya menyertai Chugoku Haiden selepas tamat belajar di Sekolah Menengah Onomichi dan memperoleh lesen memandu pada bulan Februari 1934, waktu itu mungkin saya berumur 20 atau 21 tahun. Semasa saya bekerja di Chugoku Haiden, saya menyertai tenaga kerahan sebanyak dua kali, dari September 1942 hingga November 1943, bergilir-gilir antara menjadi tenaga kerahan dan pekerja.

Selepas kejadian pengeboman yang dahsyat di Kure itu pada penghujung bulan Mac 1945, saya lihat banyak askar pejuang yang keluar dari kapal terbang berterbangan seperti segerombolan pepatung. Terdapat tempat persembunyian serangan udara yang mungkin digali oleh penduduk terdahulu. Apabila serangan udara berlaku, saya akan masuk ke tempat persembunyian itu. Tetapi agak sukar untuk menangani situasi tersebut jika ada anak-anak kecil seperti anak kami – hanya tiga tahun dan sembilan bulan.   Semasa memberi perhatian kepada yang ini, yang seorang lagi akan cuba untuk keluar dari tempat persembunyian itu. Saya membuat keputusan yang saya tidak dapat bersabar lagi dan pada penghujung Mac, saya melarikan isteri dan dua anak saya ke rumah ibu bapa mertua di Mukaeda di Kampung Wada, Daerah Futami (sekarang ini dipanggil Mukoueta-machi, Bandar Miyoshi). Oleh sebab peperangan sedang berlaku waktu itu, saya tinggalkan semua barangan rumah di gudang syarikat dan melarikan keluarga sehelai sepinggang.

Selepas melarikan mereka ke rumah mertua, saya tinggal sementara di gudang. Tetapi pada awal bulan Mei, apabila saya kembali dari rumah mertua selepas menghabiskan Sabtu dan Ahad di sana, saya dapati semua barangan rumah kami terbakar menjadi abu kerana gudang syarikat saya dibom. Tanpa pakaian ganti, saya terus pulang ke Kampung Wada dan meminta isteri membuatkan baju dan seluar daripada kimono musim panas dan kembali bekerja dengan kereta api pertama pada hari Isninnya. Oleh sebab saya telah kehilangan tempat berteduh sementara saya, saya menyewa bilik di sebuah rumah di Ushita-machi melalui seorang rakan sekerja dan tinggal di sana sehingga kejadian pengeboman bom atom berlaku.

●Kerosakan akibat pengeboman bom atom
Pada waktu itu, apabila amaran merah dikeluarkan pada waktu malam, saya perlu menjadi pengawal pada waktu malam dengan pakaian kerja di bawah arahan pejabat perbandaran, yang dipanggil “arahan berkawal.” Tugas ini diberikan kepada veteran. Pada malam 5 hb. Ogos, amaran merah dikeluarkan dan saya pergi ke kawasan yang ditugaskan, Yanagibashi, untuk berkawal pada waktu malam. Biasanya, waktu masuk kerja pada hari berikutnya selepas berkawal malam dilewatkan daripada 8:00 pagi kepada 8:30 pagi, tetapi hari itu saya tidak menerima sebarang pesanan mengenai perkara itu. Oleh itu, saya tiba di syarikat pada 8:00 pagi pada 6 hari bulan, hari selepas berkawal malam, dan inilah yang telah menyelamatkan nyawa saya.

Memandangkan saya ada 30 minit lagi sebelum kerja bermula, saya pergi ke bilik air bawah tanah khas untuk pekerja dan mula membasuh pakaian kerja yang saya pakai malam sebelum itu. Saya sedang mencangkung untuk membasuh baju, tiba-tiba saya terpelanting ke arah belakang ditolak oleh letupan yang datang dari depan, kemudian saya dihempap dinding dan selepas itu saya pengsan. Saya tidak ingat apa-apa kecuali pancaran cahaya. Apabila saya tersedar, sekeliling saya gelap gelita kerana debu yang tebal. Tetapi apabila saya ternampak api di tingkat empat atau lima, rasa bertanggungjawab untuk menjalankan tugas membuatkan fikiran saya kembali jelas. Oleh sebab saya tidak dapat melihat apa-apa, saya meraba-raba mencari jalan menempuhi kegelapan bersandarkan ingatan. Kadangkala saya terlanggar sesuatu apabila bergerak ke depan kerana mengandaikan ada tangga di situ, dan akhirnya saya sampai ke pejabat pengawal keselamatan di tingkat bawah bangunan. Dari situ, saya boleh lihat jalan trem. Apabila saya sampai ke jalan trem, saya ternampak gerabak trem terbalik dan menghempap rumah orang, dan berfikir bahawa apa yang berlaku ini sesuatu yang serius. Tiada siapa yang boleh beritahu saya ke mana saya harus lari menyelamatkan diri.

Walaupun padang Sekolah Menengah Bawah Hiroshima, Wilayah Hiroshima yang terletak ke selatan dari syarikat saya, ditetapkan sebagai tempat perlindungan kami, saya tidak diberitahu mengenainya. Saya berjalan ke arah utara di sepanjang jalan trem, membelok ke kanan betul-betul sebelum Tokong Shirakamisha, dan kemudian menuju ke arah timur di sepanjang jalan Takeya-cho. Dalam perjalanan untuk lari menyelamatkan diri daripada bencana itu, saya terlihat seorang wanita (umurnya tidak pasti) di Sekolah Tinggi Wanita Pertama Hiroshima, Wilayah Hiroshima terhimpit di bawah pagar yang runtuh akibat letupan. Dia menangis meminta tolong, dengan badannya yang terhimpit dan hanya leher ke atas yang kelihatan.  Malangnya, saya sendiri pun bermati-matian hendak menyelamatkan diri daripada bencana itu, diri saya sendiri berdarah dengan serpihan kaca terpacak di belakang saya yang tebal diselaputi darah.

Kemudian saya berjalan ke selatan di sepanjang Sungai Takeya dan menuju ke Jambatan Miyuki. Walaupun namanya sungai, Sungai Takeya hanyalah parit kecil yang tidak pun kelihatan di dalam peta Hiroshima, mengalir di bawah Fukuya. Semasa saya lari menyelamatkan diri, saya tidak nampak orang lain yang bertempiaran tetapi saya dapat lihat orang di dalam rumah di seberang Sungai Takeya sedang membersihkan runtuhan sambil berkata, “Ini betul-betul serius.” Saya tidak tahu pukul berapa waktu itu, tetapi saya dapat rasakan sudah lama saya berjalan untuk menyelamatkan diri.

Sebelum menyeberangi Jambatan Miyuki, trak tentera datang menghampiri. Saya meminta pemandu trak itu untuk menumpangkan saya ke Pelabuhan Ujina, dan dari situ saya lari menyelamatkan diri ke Pulai Ninoshima dengan menaiki kapal. Di pulau itu, situasinya amat sukar, ramai orang yang tercedera berlindung di sana. Terdapat beberapa pegawai perubatan di sana tetapi saya tidak berjaya mendapatkan rawatan yang baik untuk serpihan kaca yang masih terpacak di belakang saya, kecuali rawatan ringkas seperti balutan luka. Saya tidak dapat tidur disebabkan oleh kebisingan yang datangnya daripada mereka yang seperti orang gila, orang yang menjerit-jerit, orang yang membebel kepada mereka yang menjerit-jerit, orang yang berlari ke sana ke mari walaupun pada waktu malam di mana orang lain tidur, dan mereka yang menegur mereka yang berlari-lari. Saya tidak makan apa-apa pada 6 hari bulan itu. Pada pagi 7 hari bulan, saya menerima sedikit bubur nasi di dalam bekas buluh yang berbentuk paip dan memakannya bersama jeruk buah plum, yang merupakan satu-satunya makanan di Ninoshima.
Situasi di pulau itu amat dahsyat sehingga saya meminta askar di situ untuk membenarkan saya pulang ke rumah kerana takut mati di situ. Dan saya pulang ke Pelabuhan Ujina menaiki kapal pada pagi 7 hari bulan.  Saya bertuah kerana berjumpa dengan sebuah lori dan saya bertanya kepada pemandunya ke mana dia hendak pergi. Oleh sebab dia menjawab bahawa di menuju ke dewan bandaraya, saya minta dia tumpangkan saya ke sana. “Naiklah!” Dia segera bersetuju dan menghantar saya hingga ke pintu masuk depan. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya dan turun dari lori itu. Memandangkan syarikat saya terletak di kawasan sedikit ke utara dari dewan bandaraya itu, saya pergi ke sana berjalan kaki. Apabila saya tiba di syarikat, dua orang kakitangan berada di meja penyambut tetamu. Saya beritahu mereka, “Sekarang saya hendak menyelamatkan diri ke rumah mertua saya di Miyoshi,” dan memberi mereka alamatnya. Kemudian saya berjalan ke asrama di Ushita-machi melalui Kamiya-cho dan Hacchobori. Saya tinggal di sama semalaman, dan pada 8 hari bulan saya menaiki kereta api dari Stesen Hesaka ke Kampung Wada, di mana isteri dan anak-anak saya berada. Saya bergegas ke rumah mertua kerana bimbang isteri saya  risaukan saya. Saya tidak ingat banyak perkara tentang apa yang berlaku dalam perjalanan ke sana kecuali longgokan mayat yang ditimbunkan di Jambatan Kohei.

●Situasi selepas pengeboman bom atom
Apabila saya sampai di Kampung Wada, serpihan-serpihan kaca masih terpacak di belakang saya. Setiap hari, saya pergi ke sungai dan meminta isteri mencuci belakang saya. Darah membeku dan melekat di belakang saya seperti tar arang batu. Apabila isteri saya membuang bekuan darah dengan jarum, serpihan-serpihan kaca turut tertanggal bersama bekuan darah itu. Dia membuang bekuan darah dan serpihan kaca dari belakang saya selama seminggu atau sepuluh hari. Saya ingat semua serpihan kaca sudah dibuang, tetapi belakang saya bernanah kerana ada lagi baki serpihan yang tertinggal, pada tahun 1950an dan awal 60an. Saya pergi ke hospital pembedahan di Sakai-machi untuk membuang semua serpihan kaca yang masih ada.

Tidak lama selepas saya tiba di Kampung Wada, iaitu sebelum saya menjalani pembedahan membuang semua serpihan kaca, ayah saya mengunjungi saya dari Onomichi. Oleh sebab saya tidak dapat menghubungi saudara-mara saya di Onomichi sejak kejadian pengeboman itu, ayah saya andaikan bahawa saya sudah meninggal dunia. Dia datang ke Kampung Wada untuk berbincang keluarga mana yang harus mengadakan majlis pengebumian saya. Apabila dia dapat tahu yang saya masih hidup, dia amat terkejut dan gembira. Ayah pulang ke Onomichi tidak lama selepas minum sedikit air teh biasa sambil duduk di beranda terbuka.

Di Kampung Wada, keadaan saya agak baik tanpa merasakan sebarang ketidaknormalan pada organ-organ dalaman saya. Selepas berehat lebih kurang tiga minggu, saya pulang ke Hiroshima pada penghujung bulan Ogos atau permulaan September, dan kembali bekerja.
Tidak lama selepas kembali bekerja saya dapati najis saya berdarah. Waktu itu mungkin pertengahan September kerana saya ingat lagi buah berangan mulai gugur. Saya pergi ke rumah ibu bapa saya di Onomichi dan menjaga diri saya dengan lebih baik di sana. Melihat keadaan saya, semua orang – termasuk doktor – membuat andaian saya mengalami disenteri, bahkan mereka berbincang sesama mereka sama ada saya harus dikuarantin. Tetapi najis saya berhenti berdarah selepas saya makan nasi buah berangan yang dimasak oleh kakak.  Bunyinya agak ajaib tetapi saya percaya nasi buah berangan kakak benar-benar mujarab untuk mengubati masalah saya. Di Onomachi, saya kembali pulih daripada masalah perut selepas beberapa hari berehat dan makan makanan yang berkhasiat. Jadi, sekali lagi saya kembali bekerja di Hiroshima.

●Kehidupan selepas berakhirnya perang
Apabila saya kembali bekerja, ramai pekerja yang kehilangan rumah mereka. Saya tinggal bersama beberapa orang pekerja di tingkat lima syarikat kami. Pada mulanya, kami terpaksa menyediakan makanan sendiri, tetapi kemudian syarikat mengupah tukang masak untuk kami.
Oleh sebab saya boleh memandu, saya ditugaskan sebagai pemandu lori untuk Bahagian Bahan Jabatan Hal Ehwal Am, dan memindahkan bahan-bahan ke setiap loji kuasa di Wilayah Hiroshima.

Pada tahun 1946, keluarga saya pulang ke Hiroshima dan tinggal bersama saya semula. Rakan-rakan sekerja saya membina rumah untuk kami di Enomachi dengan tiang-tiang yang mereka kumpulkan selepas habis kerja. Kami tinggal di Enomachi selama 30 tahun selepas itu.
Walaupun banyak kerumitan yang kami hadapi, kami sentiasa mempunyai makanan memandangkan kami boleh mendapat beras daripada ibu bapa mertua saya. Tetapi kami tidak mempunyai pakaian dan kelengkapan tidur kerana semuanya ditinggalkan di gudang syarikat dan semuanya musnah terbakar. Kami memulakan kehidupan dari bawah dengan bergantung pada kemurahan hati orang lain; membuat pakaian dalam daripada kimono musim panas dan meminta ibu bapa saya di Onomichi menghantar kelengkapan tidur kepada kami.

●Kesihatan
Pada bulan Julai 1947, anak perempuan kedua kami dilahirkan. Sekali lagi, saya bimbang jika dia terjejas oleh kejadian pengeboman  bom atom. Kadangkala apabila saya lihat hidungnya berdarah atau mempunyai sedikit kelainan daripada kanak-kanak lain seusianya, saya akan membuat kesimpulan bahawa itu mesti ada kaitan dengan letupan bom atom.

Bagi diri saya sendiri, pada tahun 1956, saya mendapat tahu saya menghidap tuberkuloma, sejenis tumor, dengan purata kiraan sel darah putih saya menurun kepada 2,000 (kadangkala turun sehingga 1,000). Berat badan saya turun sebanyak 8 kg daripada berat badan sebelumnya iaitu 65 kg. Sepanjang tempoh 15 bulan dari Julai 1956 hingga September 1957, saya dimasukkan ke hospital di Hara, Hatsukaichi-machi (sekarang dipanggil Bandar Hatsukaichi), juga bercuti kerja selama dua tahun. Pada pagi 7 hari bulan Julai, hari saya dimasukkan ke hospital yang juga merupakan hari Tanabata, hari Pesta Bintang, anak perempuan yang berada dalam tahun dua sekolah rendah berkata semasa sarapan pagi, “Bintang-bintang akan bertemu hari ini, tetapi kita terpaksa berpisah, bukan?” Mendengar kata-kata anak perempuan saya itu, semua orang menangis.

Sejak itu, saya hidup dengan sihat tanpa sebarang penderitaan akibat sebarang penyakit serius sehingga beberapa belas tahun lalu di mana saya mula menderita akibat najis berdarah lagi. Apabila simptomnya berlaku, saya tinggal di Hospital Palang Merah sehingga pendarahan berhenti atau saya mendapatkan suntikan untuk menghentikan pendarahan.

Apabila saya menjalani pembedahan barah prostat empat tahun lalu, saya menerima sijil yang mengiktiraf saya sebagai mangsa bom atom.

●Fikiran saya pada waktu ini
Sekarang ini saya berusia 94 tahun, dan saya bersyukur kerana dapat hidup sebegini lama. Apa yang saya ada hari ini adalah berkat budi baik isteri saya. Anak-anak saya amat baik terhadap saya. Saya tidak mungkin mampu mengucapkan terima kasih secukupnya atas apa yang mereka lakukan untuk saya.

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語