国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Hampir Terkorban 
SHIMASAKI Jiro(SHIMASAKI Jiro) 
Jantina Lelaki  Umur ketika serangan bom atom 14 
Tahun tulisan dibuat 2007 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●6 hb. Ogos
Pada waktu itu, untuk pergi ke Kilang Hiroshima Industri Berat Mitsubishi di Minami-kanonmachi, perjalanannya mengambil masa lebih sejam. Saya menaiki kereta api di Saijo dan bertukar kepada trem semasa bertugas di bawah program kerahan tenaga pelajar. Saya anak keempat daripada lima orang adik-beradik: seorang abang, dua kakak, saya dan seorang adik perempuan. Abang saya berada di Kyushu menjalani khidmat negara.

Semasa saya di tahun dua sebagai pelajar di Sekolah Menengah Hiroshima, Wilayah Hiroshima, semua kelas dibatalkan dan saya dikerah dari satu kilang ke kilang yang lain. Dari penghujung 1944, saya mula bertugas di Kilang Kanon Mitsubishi.

Pada 6 hb. Ogos, saya mengalami kejadian pengeboman bom atom bersama beberapa orang rakan semasa kami dalam perjalanan ke kilang. Saya rasa lokasinya berdekatan padang sukan umum di Minami-kanonmachi, iaitu lebih kurang 4 kilometer dari sulung. Sekiranya saya menaiki kereta api selepas kereta api yang saya ambil, saya mungkin sudah mati di dalam kereta api disebabkan oleh dedahan langsung daripada pengeboman bom atom itu. Saya benar-benar hampir terkorban.

Semasa pengeboman bom atom, saya terdedah kepada sinarannya dari belakang. Saya masih lagi ingat yang tengkuk saya terasa panas. Kemudian, selepas pengeboman yang amat ganas itu, saya terpelanting ke tanah dan pengsan. Lima minit kemudian, saya buka mata. Saya lihat sekeliling dan saya terlihat kilang saya bertukar kepada rangka keluli dengan bumbungnya terbang entah ke mana, walaupun kami berada 4 kilometer dari pusat pengeboman.

Apa yang sedang berlaku? Saya fikir mungkin kilang di mana saya ditugaskan mungkin telah dibom oleh B-29. Tetapi tidak, nampak seperti pengeboman tangki gas di Minami-machi, jikalau dibom B-29, tidak mungkin seteruk ini. Rakan sekelas saya juga berbeza-beza pendapat mereka. Saya pasti amaran kuning telah ditarik balik. Pada pukul 8:15 pagi, tiada siapa yang berjaga-jaga. Sebelum pukul 8:00 pagi, amaran merah telah dikeluarkan. Kemudiannya ia ditukar kepada amaran kuning dan kemudian ditarik balik pada pukul 8:05 pagi. Saya yakin bahawa saya ada terdengar bunyi siren yang menarik balik amaran itu.

Selepas itu, satu arahan dikeluarkan: “Seluruh bandar sedang terbakar. Hari ini, setiap orang di sini harus pulang ke rumah.” Oleh itu, kami menuju ke arah timur meredah hujan hitam yang turun dengan lebatnya. Dalam perjalanan pulang, saya melewati Eba, Yoshijima dan Senda, sebelum menyeberang Jambatan Miyuki menuju ke arah Hijiyama. Semasa menyeberangi jambatan itu, ramai orang merentap kaki saya, meminta air dan berkata, “Bagi saya air, bagi saya air.” Tetapi saya hanya andaikan bahawa mereka tercedera biasa kerana saya langsung tidak tahu punca sebenar luka dan lecur pada tubuh mereka. Saya ngeri melihat mereka merentap kaki saya dan meminta, “Hei kamu. Bagi saya air, bagi saya air. Saya tercedera dan saya haus….” Syukur, saya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam pengeboman bom atom itu. Jadi saya tiada pilihan lain selain daripada meneruskan perjalanan. Saya benar-benar bingung melihat terlalu ramai orang yang tercedera.
Saya ternampak seorang askar yang tubuhnya disaluti warna merah semasa melintas di kaki Gunung Hijiyama. Askar itu masih segar di ingatan saya. Kulitnya tergantung-gantung dari tubuhnya. Dia masih bernafas tetapi keadaannya amat dahsyat sekali. Apabila terlihat saya, dia menuding ke arah mayat dan berkata, “Saya perlu memasukkannya ke dalam pedati.  Anak muda, bolehkah kamu pegang kakinya?” Saya terlalu takut untuk melakukannya. Di kawasan sekitar kaki Gunung Hijiyama, ramai orang tidak teruk tercedera kerana lokasinya yang jauh dari pusat pengeboman, dan ramai antara mereka membantu askar membawa mayat. Askar-askar itu mesti sudah meninggal dunia beberapa hari.

Saya tidak pasti pukul berapa, tetapi akhirnya saya tiba di stesen di Kaita sekitar tengah malam. Berdasarkan maklumat bahawa kereta api yang menuju ke Saijo akan berlepas dari Kaita pada tengah malam, saya menunggu kereta api itu selama sejam lebih sebelum berjaya menaikinya. Tiba di Saijo menaiki kereta api yang sarat seperti tin sardin, saya tidak dapat mengecam wajah-wajah mereka yang menjemput saudara mereka di stesen itu. Memandangkan waktu itu, orang ramai tidak dibenarkan menghidupkan lampu disebabkan oleh dasar bergelap, dan tidak mengetahui siapa yang datang menjemput saya, saya hanya bergantung pada suara yang menyambut kedatangan saya, “Kamu tentu mengalami pengalaman yang dahsyat. Saya dengar betapa teruknya kejadian itu.”

●Situasi pada dan selepas 7 hb.
Berdasarkan maklumat bahawa pakcik saya terlibat dalam kejadian pengeboman bom atom semasa bekerja di Gunung Hijiyama, makcik saya dan saya pergi ke Hiroshima untuk mencari pakcik. Walaupun ingatan saya tentang bagaimana kami ke bandar, adakah kami memandu lori untuk ke bandar kabur, saya ingat lagi kami bergerak awal pagi pada 7 hari bulan, dengan berbekalkan apa yang kami dengar iaitu pakcik ditempatkan di asrama sekitar Ujina. Berkat berulang-alik ke Sekolah Menengah Atas Hiroshima, saya amat hafal peta bandar itu. Itulah sebabnya mengapa saya mengambil keputusan untuk pergi bersama makcik untuk menjadi pemandu arahnya.

Kami menemui pakcik di tempat perlindungan di Ujina. Saya ingat lagi bahawa tempat perlindungan itu adalah sebuah gudang berhampiran pelabuhan. Di sana saya lihat para askar menyusun mayat di koridor sambungan dan berkata, “Oh, lelaki ni baru saja meninggal. Mayatnya perlu dipindahkan ke koridor.” Salah seorang askar itu berkata kepada saya, “Orang ini baru saja meninggal. Boleh kamu pegang kepalanya?” Saya terlalu takut untuk membantunya. Orang yang telah meninggal dipindahkan ke koridor oleh sepasukan individu. Malah, gadis berumur sekitar 20an dibiarkan terlantar di atas tanah tanpa seurat benang, kerana dia hangus terbakar.

Walaupun kami dapat membawa pakcik pulang ke Saijo dari Ujina, dia meninggal dunia pada 10 hari bulan, tiga hari selepas pulang ke rumah. Dia dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan rumah kami. Saya di sana untuk menghulurkan bantuan. Makcik saya meninggal dua tahun lalu. Makcik pernah memberitahu saya bahawa dia dan pakcik hanya sempat berkahwin selama 9 tahun.

●Kehidupan selepas pengeboman bom atom
Sekolah Menengah Atas Hiroshima kembali dibuka pada penghujung Oktober atau pada bulan November. Saya ingat lagi, kami membina pondok di bekas tapak Sekolah Menengah Atas Hiroshima di Kanon dan mengambil kelas sambil terketar-ketar kesejukan di dalam bilik darjah yang tidak mempunyai alat pemanas, ditambah pula dengan salji yang turun. Ia merupakan sebuah bangunan tanpa tingkap. Sebelum sekolah saya kembali sepenuhnya ke Kanon, mereka menyediakan kelas dengan meminjam bangunan daripada sekolah perempuan di Kaita atau bangunan sekolah rendah yang terselamat.

Oleh sebab saya ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, saya perlu menghadiri beberapa kelas untuk mendapatkan kredit yang diperlukan. Jadi, saya mengambil kelas sambil menahan kesejukan. Saya pujuk hati dengan berfikir bahawa saya sepatutnya bersyukur kerana kelas tetap diadakan walaupun di dalam pondok. Ia merupakan sekolah menengah di bawah sistem lama. Saya tamat pengajian di sekolah itu pada tahun 1947 semasa saya pelajar tahun kelima. Selepas tamat sekolah menengah, saya belajar pula di Kolej Industri Hiroshima di Senda-machi.

Selepas tamat pengajian di kolej industri, dalam tempoh sedekad dari 1955 hingga 1964, apabila kereta semakin menjadi kebiasaan di dunia, saya berhasrat untuk membuka sekolah memandu. Bersama beberapa orang rakan, saya bermula dengan membina litar pemanduan menggunakan penyodok.  Menggunakan kredit yang saya peroleh di kolej industri, saya mendapat sijil sebagai pengajar untuk pengetahuan asas dan kemahiran praktikal. Dari tahun 1960, saya bekerja di sekolah memandu di bandar sebagai ketua pengajar.

Pada tahun, 1966, saya berhenti bekerja dari sekolah memandu itu. Oleh sebab abang saya meminta saya membantunya mengendalikan rumah jagaan dan beberapa institusi lain, saya mula membantu perniagaannya. Saya bangga dengan abang saya, yang juga berkhidmat sebagai presiden persatuan perubatan. Kami berdua bekerjasama dengan rapat menjalankan perniagaan, tetapi abang saya meninggal tiba-tiba disebabkan oleh pendarahan otak. Saya tidak dapat tidur selama tiga hari kerana terlalu sedih dan kecewa. Dia kerap melawat hospital di Miyajima dan Yuki. Apabila dia perlu pergi ke tempat yang jauh, saya akan menjadi pemandunya, kerana dia seorang pengarah hospital. Saya menyokongnya dengan berfikir bahawa misi saya ialah untuk menghantar dia ke destinasinya. Semasa abang saya mengabdikan diri belajar, saya pula sibuk bersukan. Kami bekerja bersama dengan satu arah, satu tujuan. Kehilangan abang saya merupakan kedukaan yang amat dalam bagi saya.

●Pekerjaan, perkahwinan dan kesan tinggal
Saya dan isteri akan meraikan jubli emas ulang tahun perkahwinan kami tidak lama lagi. Semasa kami hendak berkahwin, saya cuba untuk tidak memberitahunya bahawa saya mangsa pengeboman bom atom. Oleh sebab saya amat sedar bahawa terdapat diskriminasi terhadap mangsa bom atom, saya mengambil risiko dengan berkata kepadanya, “Saya memang mengalami kejadian pengeboman bom atom tetapi dari jarak 5 kilometer dari pusat pengeboman di pinggir Minami-kanon, di mana saya bekerja di Mitsubishi. Jadi saya tiada masalah dan saya tidak mengalami sebarang kecederaan.” Isteri saya seperti tidak kisah dengan hakikat bahawa saya merupakan mangsa pengeboman bom atom. Anak lelaki saya, seorang ahli farmasi yang berpengetahuan, sedar bahawa dia generasi kedua mangsa pengeboman bom atom. Semasa anak lelaki dan perempuan saya dilahirkan, saya agak bimbang tentang perkara ini. Diam-diam saya pastikan mereka tiada sebarang kecacatan.

Apa yang saya ingat, kesan yang saya alami ialah benjolan yang tumbuh di tengkuk saya sepuluh tahun selepas kejadian itu. Ia bukan malignan tetapi ia benjolan yang besar seperti ketumbuhan yang tidak merbahaya. Ia tumbuh di bahagian yang terdedah kepada pancaran cahaya bom itu. Dan pancarannya datang dari arah belakang saya pada waktu pengeboman bom atom itu. Saya menjalani pembedahan untuk membuang benjolan itu tetapi satu lagi tumbuh di tempat yang sama sepuluh tahun kemudiannya. Tetapi selepas itu, saya tidak ditumbuhi sebarang benjolan lagi. Masalah lain yang mungkin berpunca daripada pengeboman bom atom ialah gigi saya rosak lebih cepat daripada orang lain. Sesetengah mangsa bom atom juga mengalami keguguran rambut. Kesan tinggalnya berbeza-beza antara seorang individu dengan yang lain. Rambut saya tidak gugur. Satu perkara yang dialami oleh semua mangsa pengeboman bom atom ialah mereka mudah berasa penat. Semasa saya bekerja, bos saya mengesyaki bahawa saya malas kerana saya cepat berasa penat berbanding orang lain yang kerjanya sama dengan saya. Bos saya menegur saya, “Orang lain tidak kepenatan melakukan kerja sebanyak ini. Kamu berasa penat sebab malas.” Semasa bekerja, amat merugikan jika kamu cepat penat.

●Harapan untuk keamanan
Semasa menyampaikan apa itu pengeboman bom atom dan keamanan kepada generasi muda, saya rasa penceramah memerlukan sedikit kepintaran. Semasa berlakunya pengeboman bom atom, bangunan runtuh dalam sekelip mata dan orang ramai mati serta-merta, oleh itu untuk menyampaikan perkara seperti ini, anda perlu kreatif dalam melakukannya. Sekadar berulang kali berkata, “Ia sungguh dahsyat,” atau menerangkan, “Saya menyesal tidak memberi air kepada mereka yang benar-benar kehausan. Saya terselamat daripada api yang datang menghampiri ke bawah jambatan” tidak menyampaikan apa-apa. Sekadar berkata “Kita mempunyai Muzium Peringatan Keamanan di Taman Peringatan Keamanan Hiroshima. Sila kunjunginya. Pokok keamanan juga ada” juga tidak benar-benar menyampaikan aspek kejam pengeboman nuklear. Ungkapan-ungkapan sebegini mungkin memberi tanggapan bahawa pengeboman nuklear itu bukan perkara besar. Puting beliung yang berlaku di Hokkaido kelmarin juga meragut banyak nyawa. Dalam videonya, akibat daripada puting beliung itu juga memaparkan imej yang sama dengan pengeboman nuklear. Imejnya teguh dan realistik. Kanak-kanak kecil juga dapat memahami aspek sebenar bencana tersebut. Dalam pengeboman bom atom juga, bangunan runtuh serta-merta dan meletus menjadi api, dan seramai 200,000 orang mati begitu sahaja. Oleh itu, video bagi bencana sebenar mungkin dapat menggambarkan aspek sebenar pengeboman bom atom.

Tidak lama selepas kejadian pengeboman nuklear itu, jurugambar profesional daripada Mainichi Shimbun dan Asahi Shimbun pergi ke Hiroshima dan mengambil gambar tempat kejadian yang membawa malapetaka itu. Walaupun bagi jurugambar-jurugambar yang telah banyak kali pergi ke zon perang ini, tiada zon perang lain yang lebih tragik berbanding kemusnahan yang dibawa oleh pengeboman nuklear di Hiroshima.  Jadi, apakah kunci kepada penyampaian tragedi ini? Saya percaya perlu ada sedikit kepintaran dalam menyampaikannya.
Akhir sekali, saya mendaftar masuk ke Sekolah Menengah Atas Hiroshima dan kehilangan ramai pelajar junior dalam kejadian pengeboman tersebut. Beberapa orang rakan sekelas yang terselamat meninggal dunia baru-baru ini. Saya berasa kesunyian atas kematian satu-satunya abang saya. Pada masa ini, saya cacat tubuh badan dan saya dijaga oleh isteri. Saya harap saya boleh hidup dua tahun lagi. Dan saya amat gembira jika saya dapat bercakap mengenai apa yang terjadi kepada saya kepada generasi muda, termasuk anak-anak kecil dan pelajar sekolah rendah seminggu sekali atau dua minggu sekali, jika boleh, sehingga saya berpuas hati dan meninggal dunia dengan aman.

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語