国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Kehilangan Dua Orang Anak dalam Pengeboman Bom Atom 
FUJII Makie(FUJII Makie) 
Jantina Perempuan  Umur ketika serangan bom atom 22 
Tahun tulisan dibuat 2006 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●Situasi sebelum pengeboman bom Atom
Keluarga saya tinggal di tepi sungai, kira-kira 100 meter ke timur Jambatan Yokogawa di 1-chome di Yokogawa-cho. Pada waktu itu, keluarga saya terdiri daripada empat orang: suami saya (Kiyoshi) dan saya, anak perempuan sulung kami Kazuko dan anak perempuan bongsu kami Kiyomi.

Sebelum pengeboman bom Atom itu, setiap kali bunyi siren amaran merah dimatikan, saya akan berlari ke dalam lubang bawah tanah yang digali bersama-sama dua orang anak saya. Perkara ini berulang-ulang selama beberapa hari dan ia masih segar di ingatan saya.

●Kerosakan akibat pengeboman bom atom
Pada pagi 6 hb. Ogos, suami saya mengambil cuti dan berehat di rumah kerana dia telah menerima surat panggilan. Memandangkan amaran merah telah dibatalkan, anak-anak saya dan saya bermain tag di tingkat atas rumah kami.

Tiba-tiba, bola api yang sedang menyala terbang masuk ke dalam rumah kami diiringi bunyi berdetap-detup dari tingkap. Pada waktu itu, anak-anak saya dan saya mula jatuh ke bawah seperti sedang disedut ke dalam jurang yang amat dalam.

Anak sulung saya menjerit di bawah kaki saya, “Ibu, saya di sini. Ibu, saya di sini.” “Kazuko, ibu akan keluarkan kamu dari sana. Tunggu,” Saya menjerit memanggilnya tetapi saya sendiri tidak dapat menggerakkan walaupun leher kerana setiap bahagian tubuh saya terhimpit di antara dinding dan bermacam-macam barang di dalam rumah kami.

Tidak lama kemudian, saya dengar suami saya memanggil nama saya dari atas. “Makieeee, di mana kamu? Makieeee…,” sambil dia berjalan ke sana ke mari mencari kami. Tidak lama selepas itu saya mula dapat rasakan kepanasannya. Suami saya menangis dengan perasaan yang tidak berdaya di atas, “Api sedang bergerak menghampiri kita, tapi saya tak tahu kamu di mana. Saya nak kamu tahu kita terpaksa berputus asa, dan saya terpaksa berputus asa untuk mencari kamu.”

“Saya di sini. Abang, saya di sini.” Walaupun saya memanggilnya bermati-matian, suami saya tetap tidak tahu di mana saya berada. Saya terhimpit di bawah runtuhan dan memegang anak bongsu kami semasa saya mendengar suami saya berkata kami terpaksa berputus asa, dan seperti hendak gila saya memeluk anak saya dengan kuat. Oleh sebab saya secara tidak sengaja menutup hidung dan mulutnya, anak saya tidak dapat bernafas dan meringking sambil bergelut untuk melepaskan pelukan saya. Saya tersentak dengan ringkingannya dan menjerit, “Anak saya sedang nazak!” Dia seolah-olah terdengar pekikan saya dan kembali ke arah kami. Dia meneruskan pencariannya dan menjerit, “Kamu di mana?! Kamu di mana?!” Dia membuat lubang kecil, dia keluarkan saya dahulu kemudian dia menarik keluar anak kami. Saya tidak dapat berdiri lama kerana kepala saya pening-pening akibat terhantuk di kepala. Tetapi api yang marak menyala sedang menghampiri kami.

Tidak lama selepas menyelamatkan diri, tiba-tiba saya tersedar bahawa anak sulung kami tidak bersama kami dan saya bertanya suami di mana dia. Dia menjawab, “Tidak guna kita mencarinya. Dia tak mungkin dapat bergerak lagi sekarang ini. Saya minta maaf.”

“Kazuko, Ibu minta maaf. Ibu minta maaf. Tolong ampunkan kami,” saya terus berjalan sambil memohon maaf kepadanya di dalam hati.
Suami saya memegang anak bongsu kami dengan sebelah tangan dan menyokong sambil mengheret saya dengan tangan yang satu lagi mencari tempat untuk menyelamatkan diri daripada bencana itu. Dalam pada itu, dia terus memberi kata-kata semangat, “Tabahkan dirimu. Bertahanlah. Kamu boleh lakukannya.” Dengan mata saya yang semakin tertutup, sukar untuk saya menyainginya. Dengan api datang menghampiri dari setiap arah, rumah kami tentu sudah ranap dek api.

Dengan saya di sebelah dan anak kami di tangan yang sebelah lagi, suami saya terpaksa berhenti berehat walaupun baru beberapa langkah berjalan. Semasa kami dalam perjalanan untuk menyelamatkan diri daripada bencana itu, seorang wanita dengan rambut yang kusut masai menjerit meminta tolong, merangkul kaki suami sambil berkata, “Tolong bantu saya. Anak saya tersepit di bawah tiang. Tolong saya tarik dia keluar.” Tetapi suami saya menolak pujukan wanita itu dan berkata, “Saya harap sangat saya dapat membantu.  Tapi isteri dan anak saya dalam keadaan yang teruk, tolong maafkan saya.” Kemudian wanita itu bergegas berlari. Kami berjalan, berehat, berjalan dan berehat dan akhirnya tiba di rumah kenalan suami saya di Shinjo pada waktu malam.

●Di rumah kenalan di Shinjo
Kami tinggal di rumah kenalan di Shinjo selama tiga hari. Akibat terkejut dengan pengeboman bom atom itu, saya tidak dapat memberi susu badan kepada anak saya. Memandangkan saya terpaksa baring akibat kecederaan di kaki, suami terpaksa keluar untuk mendapatkan susu.
Saya tak dapat mengelak daripada tertanya-tanya adakah anak sulung kami, yang terhimpit di bawah runtuhan rumah kami sebenarnya dapat diselamatkan. Saya tidak dapat menahan air mata, darah saya mendidih kemarahan apabila terkenangkan yang saya terselamat, tetapi anak saya sulung kami yang menangis meminta bantuan ditinggalkan.

Semasa di rumah kenalan di Shinjo, saya nampak sebarisan orang yang ramai yang melecur di sana sini terhuyung-hayang ke sana ke mari. Oleh sebab saya tidak dapat mengelak daripada menangis melihat mereka itu, saya tutup mata saya agar tidak nampak mereka.

●Pergi ke rumah keluarga saya di Yamaguchi
Tiga hari selepas kejadian pengeboman bom atom itu, perkhidmatan kereta api disambung semula. Suami, anak bongsu dan saya menaiki kereta api yang sarat dari Stesen Yokogawa dan menuju ke Kogushi di Wilayah Yamaguchi, di mana terletaknya rumah ibu bapa saya. Akhirnya kami sampai di Kogushi, dan berjalan ke rumah ibu bapa saya. Sebelum sampai ke rumah, orang ramai di tengah pekan, yang melihat keadaan kami yang teruk itu, bertanya sesama mereka, “Kenapalah dengan orang-orang ni? Apa yang berlaku?” Ia sebuah pekan yang kecil dan kami kenal antara satu sama lain. Saya tidak dapat berkata apa-apa, hanya berlalu meninggalkan mereka dengan air mata, dan akhirnya kami tiba di rumah kedua ibu bapa saya.

Bermula malam itu, malam demi malam, saya mempunyai masalah untuk tidur akibat rasa bersalah kerana saya diselamatkan tetapi anak sulung kami ditinggalkan sendirian.  Melihat keadaan saya yang menderita itu, kakak dan ibu tidur di kiri dan kanan saya kerana takut saya akan membunuh diri. Namun, saya tetap bangun dari tempat tidur setiap malam dan menangis, “Ibu minta maaf, ibu minta maaf. Tolong ampunkan ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri ini.” Semasa saya tinggal di Yamaguchi, suami saya pulang ke Hiroshima untuk mencari abu anak sulung kami.

Selain itu, memandangkan saya tidak dapat mengeluarkan susu untuk anak saya, ibu terpaksa pergi berjumpa ibu-ibu muda lain yang mempunyai anak di kawasan sekitar untuk mendapatkan susu. Ibu memberitahu saya, “Kamu terlantar di atas katil dengan kaki yang sakit. Kamu juga ada anak kecil Rehat saja di sini hingga sembuh, kemudian baru pulang ke rumah.” Selama hampir setahun selepas itu, saya tinggal di rumah kedua ibu bapa saya. Sehingga hari ini, kaki saya masih tidak sembuh seperti sedia kala.

●Kematian anak bongsu kami
Selepas hampir setahun di Yamaguchi, saya pulang ke Hiroshima. Kami tinggal di rumah sewa tidak jauh dari rumah lama kami di Yokogawa.
Suami memberitahu saya yang suatu hari dia membawa anak bongsu kami ke tempat mandi awam. Apabila ternampak anak kami, seorang lelaki memberitahu suami bahawa belakang anak kami bengkak sedikit.  Jadi saya bawa anak saya ke hospital. Saya fikir mungkin dia terhantuk belakang badannya semasa kejadian pengeboman itu. Menurut diagnosis, empat daripada tulang di tulang belakangnya bernanah.  Jadi sekali lagi saya minta ibu bapa saya menjaganya di rumah mereka di Yamaguchi. Beberapa tahun kemudian, anak kami merindui kami dan kami bawanya semula ke Hiroshima dan memasukkanya ke hospital. Tetapi, oleh sebab kami tidak ada cukup wang untuk membayar kos perubatannya, saya terpaksa meminta ibu membayarkannya. Apabila akhirnya kami kehabisan wang, walaupun untuk diberikan kepada ibu bapa saya, kami bawa pulang anak kami ke rumah di Hiroshima. Walaupun pelbagai usaha kami lakukan, anak saya meninggal pada tahun 1952.

●Harapan untuk keamanan
Saya tidak mahu berlakunya perang lagi. Saya inginkan dunia di mana setiap orang boleh berpegangan tangan sesama kita. Kita semua boleh hidup dengan gembira jika kita boleh hidup setiap hari dengan bertimbang rasa terhadap orang lain.

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語