国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Harapan sebuah kedamaian bagi generasi akan datang 
MAEDOI Tokio (MAEDOI Tokio ) 
Jantina Lelaki  Umur ketika serangan bom atom 12 
Tahun tulisan dibuat 2009 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●Kehidupan sebelum jatuhnya bom atom.
Pada tahun 1945, saya tinggal bersama dengan ibu saya, Puan Hisayo serta dua orang kakak di 1-chome Kusunoki-cho. Walaupun pada ketika itu, saya merupakan seorang murid tahun satu di sekolah rendah Misasa, tetapi setiap hari saya bekerja di kilang-kilang perusahaan dan tempat-tempat yang lain sebagai mobilisasi murid, sehingga terabainya waktu persekolahan. Saya beserta dengan seramai 40 orang rakan sekelas dimobilisasikan di kilang Nissan Motor Co. Ltd., bertapak di 3-chome Misasa-honmachi. Dua orang kakak saya juga turut serta bekerja; Kazue bekerja di pejabat cawangan Hiroshima Postal Saving dan Tsurue bekerja di pejabat cawangan Hiroshima kilang perusahaan pakaian angkatan tentera darat.

●Pada 6 Ogos
Ketika itu diwaktu pagi, saya bekerja seperti biasa sebagai murid mobilisasi di Nissan Motor Co. Ltd.  Saya dan rakan-rakan mobilisasi yang lain dihantar bekerja di kilang-kilang yang berbeza. Saya bekerja di pejabat dan saya juga melakukan pelbagai jenis tugas seperti membawa komponen-komponen yang dihantar dari kilang. Pada saat itu, ada permintaan datang dari kilang untuk menghantarkan sejumlah besar skru, dimana saya harus meninggalkan ruang pejabat dengan membawa dua buah kotak di tangan dan mulai berjalan menuju ke kilang yang terletak di bahagian belakang pejabat. Namun secara tiba-tiba, saya diselimuti cahaya berwarna biru dan putih seperti nyala api dapur gas. Pada saat yang sama, pandangan saya tertutup dan saya merasa seolah-olah saya melayang di udara. Lantas, saya menyangka bahawa kami telah diserang oleh bom secara tiba-tiba, walaupun peringatan serangan udara telah pun dibatalkan dan kerana itu kami tidak melakukan apa-apa persiapan. Justeru itu, saya segera berfikir “Ohhh, saya akan mati ...”

Saya kurang pasti berapa minit masa telah berlalu, tetapi apabila saya tersedar, saya menyedari bahawa saya sedang terbaring di atas tanah. Selepas itu, pandangan saya mulai pulih kembali seperti kabus yang hilang secara berperingkat. Pada waktu itu, saya berfikir “Saya masih hidup!”

Saya terjatuh di atas dapur gas yang ada berdekatan dengan saya dan menyebabkan kulit tangan saya melecur. Disaat itu, saya teringat yang kepala saya botak dan hanya memakai baju kemeja berlengan pendek serta berseluar pendek, pada waktu yang sama saya juga mengalami kelecuran yang teruk pada bahagian badan saya yang terdedah. Namun pada ketika itu, saya tidak dapat segera memahami betapa parahnya kecederaan saya dan saya juga tidak merasa sakit sedikitpun. Saya juga tidak melihat rakan sekelas saya yang bersama-sama dimobilisasikan. Saya berasa khuatir terhadap keluarga saya, maka dengan itu saya memutuskan untuk kembali ke rumah. Pada saat saya mulai berjalan keluar, saya melihat pintu gerbang kilang telah jatuh tertumbang dan mendapati terdapat tiga orang sedang terperangkap di bawahnya. Dengan kerjasama beberapa orang yang berdekatan, kami berjaya mengeluarkan mereka yang terperangkap lalu mengatakan “Mari kita melarikan diri! Mari kita melarikan diri!” dan kami pun segera keluar dari kilang.

●Keadaan selepas jatuhnya bom atom
Bandar ini telah ditutupi oleh runtuhan bangunan dan konkrit, sehingga saya tidak dapat melihat jalan. Kepulan asap yang berasal dari api keliihatan di serata tempat. Semua orang yang berjalan di jalan menderita kelecuran dan segelintir daripada mereka melarikan diri sambil memegang anak masing-masing. Walaupun ketika itu saya berjalan di atas serpihan dan longgokan kayu yang runtuh, dan paku menembusi bawah kasut saya lalu menusuk kaki, namun pada masa itu saya berada dalam keadaan panik sehingga saya tidak dapat merasakan kesakitan yang dialami. Segala serpihan melekat di bawah kaki saya, saya dapat mendengar suara meraung “Bantu saya,” namun oleh kerana keadaan amat genting ketika itu, menyebabkan saya panik, segala rayuan orang-orang yang meminta tolong saya hiraukan dan segara pulang ke rumah.

Ketika saya sampai di rumah, saya melihat rumah saya telah musnah. Pada ketika itu, seharusnya ibu dan kakak saya berada di rumah, tetapi saya tidak melihat kelibat mereka. Pada waktu itu, saya berusia 12 tahun, Saya segera diliputi kebimbangan, “Saya sekarang bersendirian.” Saya berdiri tercengang dan menatap seketika rumah saya yang telah musnah dan berfikir, “Ini adalah kiamat.” Pada saat itu, saya mendengar orang-orang di sekeliling saya berkata, “Api merebak. Pergi dari sini!” lantas saya pun melarikan diri. Di saat saya berjalan ke kem penempatan di pinggir bandar yang telah ditentukan oleh keluarga saya sebelum ini, saya bertemu seorang rakan yang bekerja di kilang yang sama, iaitu Nakamura. Dia sedang melarikan diri ke rumah saudaranya di Mitaki-cho dan lalu berkata, “Mari kita pergi bersama-sama.”

Mitaki-cho terletak di lereng bukit di mana hanya mengalami sedikit kemusnahan. Kami melihat rumah-rumah hanya mangalami sedikit kerosakan seperti beberapa tingkap yang pecah. Ibu saudaranya berkata, “Syukur awak selamat, terima kasih Tuhan.” Ibu saudaranya memberikan kita gumpalan nasi namun saya tidak mempunyai selera makan dan juga tidak dapat makan. Kemudian, saya mulai berasa sakit di badan dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan saya. Badan yang terdedah telah melecur semuanya, seluruh badan saya mengalami lepuh yang sangat besar, dan beralun seperti gelombang. Saya tidak memakai topi, maka dengan itu kepala saya juga melecur dan berdenyut kesakitan. Walaupun dikatakan bahawa kita akan mati jikalau satu pertiga daripada tubuh badan kita melecur, namun saya berpendapat bahawa saya mengalami kelecuran teruk lebih daripada itu.

Hujan mulai turun sebelum waktu tengah hari. Dalam pada keadaan badan saya yang melecur, saya berasa selesa lalu membiarkan hujan membasahi badan saya untuk seketika. Selepas mengamati dengan teliti, hujan yang turun kelihatan berkilauan seperti minyak. Pada waktu itu saya tidak memahami apa yang telah berlaku, tetapi kini saya sedar bahawa ia adalah “hujan hitam” yang mengandungi radioaktif.

Setelah itu, saya mengucapkan selamat tinggal kepada Nakamura dan mula berjalan lagi menuju sekolah di Yasu-mura (kini Asaminami-ku, Hiroshima) yang merupakan tempat penempatan kami. Badan saya berasa sangat pedih dan perit, lalu saya mengambil beberapa buah mentimun dari kebun berdekatan, dan menitiskan air mentimun pada luka lecur dan meneruskan perjalanan.

Apabila saya sampai di sekolah, tempat penempatan telah terbuka. Tempat tersebut penuh dengan mereka yang cedera terbaring di tanah dalam barisan seperti susunan ikan tuna. Di sana, saya mendapat rawatan perubatan untuk pertama kalinya dan itu pun hanya dengan meletakkan minyak masak pada luka lecur saya. Sekolah dipenuhi dengan mangsa pengeboman jadi saya terpaksa berpindah ke tempat tinggal yang baru, berasingan. Ketika hendak berpindah, secara kebetulan saya bertemu dengan kakak saya, Tsurue. Dia berada di rumah ketika bom atom dijatuhkan. Kepalanya kelihatan seolah-olah menyakitkan dan berbalut. Akhirnya saya dapat bertemu dengan keluarga saya, lalu berfikir, “Ahhh, saya tidak bersendirian” dan berasa lega. Saya mendengar dari kakak saya bahawa ibu kami selamat dan kami pergi untuk menemuinya. Ibu kami berada di beranda pada saat pengeboman. Kakinya cedera parah dan wajahnya melecur. Setelah itu juga, kami bertemu dengan kakak saya, Kazue yang bekerja di pejabat cawangan Hiroshima Postal Saving.

Kami tinggal di Yasu-mura sehingga berakhirnya perang. Saya masih ingat bahawa kami berasa lega kerana kami tidak perlu lagi pergi untuk berperang. Kami tinggal di Yasu-mura sekitar dua minggu, dan selepas itu kami berpindah ke rumah beberapa orang saudara-mara di kampung ayah saya, Gono-mura di Takata-gun (kini, bandar Akitakata).

Kesihatan saya semakin merosot, beberapa orang di sekeliling saya berkata, “Dia tidak mempunyai banyak masa lagi.” Seorang doktor telah dihantar ke Gono-mura, saya diletakkan di atas troli beroda besar dan diberikan rawatan perubatan. Untuk pertama kalinya saya telah diberikan ubat luka lecur yang berwarna putih dan akhirnya saya menerima rawatan perubatan yang betul. Walaupun menerima rawatan perubatan, luka lecur saya begitu teruk sehingga saya tidak boleh menanggalkan baju. Baju saya terpaksa dipotong dengan gunting. Oleh kerana saya mengalami demam panas yang teruk, saya tidak larat ke tandas sendiri, saya hanya boleh ke tandas dengan bantuan seseorang memapah saya. Walaupun ibu saya sendiri mengalami kecederaan, tetapi dia tetap menjaga saya, satu-satunya anak lelaki dan bongsu. Saya masih teringat yang ibu saya berjaga sepanjang malam, tidak henti-hentinya mengipasi saya dan berkata, “Panas kah?”. Di waktu luka lecur saya mulai sembuh, saya kerapkali mengalami hidung berdarah. Kadangkala pendarahan tidak boleh berhenti maka doktor memberikan suntikan yang boleh menghentikannya.

Saya beransur pulih dan mula bersekolah. Setelah pengeboman, kira-kira ada tiga orang pelajar di sekolah itu yang juga berasal dari bandar Hiroshima.

Sekitar September, saya tertanya-tanya akan situasi di Hiroshima lalu saya sendirian menaiki bas ke bandar Hiroshima. Berdekatan dengan runtuhan rumah saya, saya bertemu dengan jiran saya yang tinggal di beberapa berek yang mereka bina dan saya berborak dengan mereka. Berek yang lain dibina di beberapa tempat hanya digunakan untuk berlindung dari hujan. Saya pergi ke kilang Nissan Motor Co. Ltd., di tempat dimana saya berada di saat pengeboman. Kebetulan saya bertemu dengan pengurus kilang. Dia bertanya bagaimana khabar saya dan dia bercerita tentang apa yang berlaku di saat pengeboman. Saya merasa ngeri ketika dia berkata kepada saya bahawa seorang wanita yang bekerja di pejabat yang sama dengan saya, bola matanya terkeluar akibat terkena bom. Selepas itu, saya tidak pernah lagi bertemu dengan 40 rakan sekelas saya yang bekerja di kilang yang sama, malah hingga ke hari ini saya tidak pernah tahu tentang kewujudan mereka.

●Bermulanya kehidupan baru
Dua atau tiga tahun kemudian, saya kembali berpindah ke bandar Hiroshima disebabkan ketiadaan pekerjaan di kawasan desa. Oleh kerana saya tidak mempunyai latar belakang dalam pendidikan, maka sangat sukar untuk saya mencari sebarang pekerjaan. Lantas saya bekerja sebagai penghantar surat kabar, buruh di tapak pembinaan, dan melakukan pelbagai pekerjaan agar terus mampu makan.

Apabila saya 23 tahun, saya memutuskan untuk berkahwin. Saya ingin isteri saya tahu segala-galanya, maka saya memberitahunya bahawa saya adalah mangsa pengeboman bom atom. Dengan rasa penuh pengertian, isteri saya bersetuju untuk berkahwin. Pada masa itu, banyak maklumat di akhbar-akhbar dan media tentang kesan-kesan sampingan terhadap mangsa yang terselamat dari pengeboman, tetapi saya cuba berusaha untuk tidak peduli. Ketika saya berusia 27 tahun, anak pertama saya lahir dan pada tahun yang sama juga saya mendapat pekerjaan di Toyo Industries Co. (kini Mazda Motor Corporation), disebabkan kakak ipar saya memperkenalkan pekerjaaan tersebut kepada saya. Pada masa itu, saya seringkali bertukar-tukar pekerjaan, namun kakak ipar saya menggesa saya untuk terus bersabar dan bekerja keras, maka saya bertekad untuk bekerja keras demi anak saya.

●Kebimbangan terhadap kesihatan
Ketika berbual dengan rakan sekerja sewaktu bekerja malam, saya mendapati seseorang merupakan mangsa pengeboman bom atom di jambatan Aioi. Saya amat terkejut apabila dia memberitahu saya bahawa ketika itu dia berhampiran dengan pusat pengeboman bom atom. Dia telah menerima permintaan dari ABCC (Atomic Bomb Casualty Commission) untuk menjalani pemeriksaan fizikal. Kami berdua merupakan orang yang terselamat dari pengeboman, justeru itu kami cukup tertarik untuk berbual diantara satu sama lain tentang kecemasan masing-masing. Namun, keadaan fizikalnya semakin merosot dan dimasukkan ke hospital. Setelah itu, dia kembali lagi bekerja, ketika berusia 50 tahun dia meninggal dunia. Oleh kerana saya senantiasa dilanda kebimbangan akan kesihatan saya, maka saya berfikir bahawa ia mungkin menghairankan dimana saya masih hidup hingga kini. Saya terus bekerja sehingga berumur 55 tahun.
 
●Harapan sebuah Kedamaian
Faktor saya memutuskan untuk bercerita tentang pengalaman saya ketika pengeboman bom atom adalah kerana saya semakin berusia dan dapat merasakan kekuatan fizikal saya semakin lemah, maka  dengan itu keinginan saya semakin kuat untuk berkongsi dengan anak muda akan pengalaman saya. Anak muda sekarang tidak dipaksa untuk pergi berperang seperti pada masa lalu, tetapi bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Saya mahu mereka memahami, walaupun hanya sedikit, tentang apa yang telah berlaku pada 64 tahun yang lalu yang mungkin tidak terfikir pada masa ini, dan bagaimana perasaannya dengan anak muda yang kehilangan nyawa mereka serta memahami penderitaan generasi sebelumnya.

Di samping itu, saya ingin menggalakkan anak muda untuk tampil kehadapan dengan bergiat dalam aktiviti-aktiviti kedamaian bagi penghapusan senjata nuklear agar apa yang saya alami tidak akan berulang kembali. Sesiapa pun tidak akan memperoleh sebarang kebaikan jika mengalami tragedi yang sama. Saya benar-benar mahu melihat penghapusan senjata nuklear selagi saya masih hidup.

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語