国立広島・長崎原爆死没者追悼平和祈念館 平和情報ネットワーク GLOBAL NETWORK JapaneaseEnglish
 
Select a language / Bahasa Melayu (Malay・マレー語) / Memoirs (Baca memoir mangsa bom atom)
 
Saya telah melihat neraka 
KUWABARA Kimiko(KUWABARA Kimiko) 
Jantina Perempuan  Umur ketika serangan bom atom 17 
Tahun tulisan dibuat 2011 
Lokasi ketika serangan bom atom Hiroshima 
Hall site Dewan Kenangan Keamanan Kebangsaan Hiroshima untuk Mangsa Bom Atom 

●Kehidupan sebelum jatuhnya bom atom.
Saya berusia 17 tahun pada ketika itu. Saya tinggal bertiga bersama dengan ibu dan kakak saya di 3-chome Misasa-honmachi, bandar Hiroshima (kini, Nishi-ku). Ayah saya telah meninggal dunia, dan saya mempunyai tiga orang abang, abang yang sulung telah berkahwin dan tidak tinggal bersama di rumah.  Sementara itu abang yang kedua dan ketiga dikerah sebagai tentera dan tinggal di daerah Yamaguchi.

Ketika itu saya bekerja di bahagian umum di pusat stesen siaran Hiroshima. Stesen siaran tersebut terletak di Kaminagarekawa-cho (kini, Nobori-cho, Naka-ku), dan daerah sekitarnya telah menjadi seperti kawasan lapang disebabkan oleh kebanyakkan rumah telah dimansuhkan kesan dari akibat pengasingan. Saya teringat bahawa stesen siaran banyak mengendalikan urusan yang berhubungkait dengan tentera, dimana semua tingkap diperkuat bagi langkah berjaga-jaga terhadap serangan udara.

●Pada 6 Ogos
Pada pagi hari tersebut, peringatan serangan udara telah dikeluarkan sehingga saya tidak boleh meninggalkan rumah untuk sementara waktu dan terlambat untuk pergi bekerja. Peringatan tersebut dibatalkan dan saya sampai di stesen siaran sekitar jam 8:00. Seperti biasanya, saya dan rakan sekerja memulai denagn membersihkan pejabat sesuai dengan tugas masing-masing. Ketika memasuki pejabat pengurus stesen, saya terdengar seorang wanita berkata, “Ada pesawat B-29 disana!” Saya bimbang akan suara itu, dan disaat itu saya mendekati tingkap, tiba-tiba terlihat pancaran cahaya yang sangat terang dari luar. Pancaran tersebut adalah cahaya yang berwarna merah, sama seperti yang terjadi pada saat kita menyalakan dapur api, tetapi cahaya sinar tersebut ini jauh lebih memancar. Saya segera menutup mata dan telinga dengan kedua belah tangan dan berjongkok di sana. Tindakan tersebut merupakan tindakan yang disarankan ketika bom meletus. Dalam kegelapan, terasa seperti keadaan tanpa arah, serta merasa sakit dan perasaan aneh yang tidak dapat digambarkan yang menyelubungi tubuh saya. Saya berfikir pasti saya akan mati. Pada saat itu saya tidak menyedari bahawa angin dari letusan itu telah memunsahkan kaca menjadi sepihan-serpihan yang sangat halus dan menusuk di wajah dan lengan kiri saya, menyebabkan tubuh saya berlumuran darah. Hingga kini, serpihan kaca tersebut masih berada di dalam pipi kiri saya.

Setelah beberapa saat, saya terus terdiam dan kemudian sayup-sayup kerdengaran suara-suara di koridor. Ruangan itu sangat gelap dan saya tidak dapat melihat dengan jelas. Walau bagaimanapun, saya berfikir bahawa saya harus segera keluar dari sana, lalu saya mencuba untuk bergerak menuju ke arah suara-suara di koridor dan saya terlanggar punggung seorang lelaki. Saya berfikir lebih baik saya melarikan diri dengan lelaki ini. Saya berfikir saya masih hidup, lalu saya memegang kuat tali pinggangnya dan ikut berlari di belakangnya, dan akhirnya kami berjaya sampai dekat dengan pintu keluar. Ramai orang telah berkumpul dekat dengan pintu keluar dan kami membuka pintu yang berat serta berjaya keluar. Keadaan disekeliling  gelap seperti menjelangnya waktu fajar. Segala-galanya berterbangan ditiup angin,  lalu jatuh bertaburan dari langit. Ramai orang yang keluar dari stesen siaran, wajah mereka kelihatan kehitaman, rambut berdiri tegak, mereka berlumuran darah, dan pakaian mereka compang-camping. Sebelum mendengar suara, kami tidak dapat mengenalpasti antara satu sama lain.
Kami berfikir bahawa stesen siaran telah menjadi sasaran dan rosak teruk akibat pengeboman. Bangunan yang berdekatan adalah merupakan gedung Chugoku Shimbun dimana stesen siaran memiliki pejabat cawangan disana. Untuk pergi ke sana, saya keluar menuju ke lapangan dengan dua atau tiga orang wanita yang bekerja di bahagian umum yang sama. Disaat itulah saya menyedari untuk pertama kalinya bahawa bukan hanya stesen siaran saja yang rosak. Semua bangunan disekitarnya sudah musnah, dan berlaku kebakaran di serata tempat. Kelihatan api yang sangat kuat, yang berasal dari tingkap pejabat cawangan kami di tingkap lima dan enam gedung Chugoku Shimbun. Oleh sebab itu, kami melarikan diri ke taman Shukkeien yang berada berdekatn stesen siaran. Ketika api semakin marak, saya dapat mendengar teriakan orang yang terperangkap di bawah runtuhan rumah dan suara orang-orang yang mencari ahli keluarganya. Namun, pada saat itu saya hanya berfikir untuk melarikan diri, saya tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantu mereka.

Ramai orang berkumpul di taman Shukkeien. Kami menyeberangi sebuah jambatan yang merentasi kolam di taman dan akhirnya sampai di tepi sungai Kyobashi. Pokok-pokok di taman mulai terbakar dan api merebak ke tepi sungai di mana kami berada. Akhirnya sebuah pokok cemara yang tinggi dan berdekatan sungai terbakar dengan cepatnya. Kami melompat ke dalam sungai dan memerhati sekitar dari dalam air sungai yang diparas dada, Osuga-cho yang terletak di seberang terbakar dan percikan api turut memercik ke arah kami. Kami merasa sangat panas disebabkan kebakaran di seberang sungai dan di belakang kami dimana kami terpaksa menghabiskan masa hingga ke malam harinya dengan berulangkali masuk dan keluar dari sungai.

Ramai orang melarikan diri ke tepi sungai sehingga tidak ada tempat untuk kami duduk. Sebelum itu, tentera telah ditempatkan berdekatan kawasan tersebut, maka ramai tentara berada di sana. Disebabkan mereka memakai topi, mereka masih memiliki sebahagian rambut di kepala seperti piring, seluruh tubuh mereka telah terbakar dan mereka menderita kesakitan. Terdapat seorang ibu yang terdiam disana sambil memegang bayinya, bahagian atas tubuhnya compang-camping dan saya fikir bayinya mungkin telah meninggal dunia.

Saya terus-terusan mendengar suara orang-orang yang terbakar dan tercedera berkata, “Berikanlah saya air, berikanlah saya air” dan beberapa orang mengatakan,”Anda tidak boleh minum air.” Ada ramai orang yang terbakar dan tidak dapat menahan rasa sakit lalu melompat ke dalam sungai. Kebanyakkan orang yang terjun ke dalam sungai tidak muncul kembali ke permukaan dan dibawa arus sungai. Mayat-mayat terapung dari hulu sungai memenuhi sungai. Sepanjang kami berada di dalam sungai, mayat-mayat tersebut terus-menerus terapung menuju ke arah kami, maka saya menolak mayat tersebut dengan tangan sehingga mayat terapung ke hilir. Pada saat itu, saya tidak merasa takut disebabkan saya sangat panik. Saya menyaksikan adegan yang sangat menyedihkan lebuh daripada lukisan tentang neraka.

Kebakaran tersebut sangat dahsyat sehingga kami tidak dapat bergerak ke mana-mana, kami menghabiskan waktu sepanjang hari di tepi sungai taman Shukkeien. Disaat matahari terbenam, perahu penyelamat yang kecil datang untuk mencari karyawan stesen siaran. Karyawan stesen siaran memutuskan untuk pergi ke tempat penempatan di Higashi Renpeijyo (lapangan latihan tentara timur) dan perahu kecil tersebut membawa kami ke pantai di seberang sungai. Saya sangat risau tentang ibu saya yang bersendirian di rumah, maka saya mengatakan kepada mereka bahawa saya ingin pulang dan tidak mahu pergi ke tempat penempatan. Seorang rakan sekerja kemudian berkata, “Jangan berfikir seperti itu. Amat berbahaya untuk kembali ke bandar,” dan saya terpaksa menahan rasa. Oleh kerana rumah saya terletak di Misasa-honmachi, di bahagian barat bandar Hiroshima, untuk menuju ke sana, saya harus berjalan melalui pusat bandar yang terbakar. Semua orang melarang saya pergi ke sana, maka dengan berat hati saya berkata akan pergi bersama-sama dengan mereka, namun saya mencari kesempatan untuk menjauhi dari mereka. Saya terdengar suara orang-orang yang memanggil saya ketika mereka tersedar saya mulai meninggalkan mereka, tetapi saya hanya boleh berkata,”Maafkan saya,” lalu berjalan  menuju ke rumah.

●Perjalanan menuju ke rumah
Setelah berpisah dengan rakan sekerja, saya tiba di jambatan Tokiwa-bashi yang merentasi sungai Kyobashi. Terdapat orang yang tercedera yang datang terus-menerus dari arah Hakushima yang terletak di sebelah barat jambatan, namun tidak ada seorang pun yang menuju ke arah yang berlawanan. Saya bertemu dengan dua orang pekerja kereta api yang ingin menyeberangi jambatan. Mereka sedang dalam perjalanan menuju ke stesen Yokogawa, maka saya meminta mereka untuk membawa saya bersama. Mereka menolak dan mengatakan, “Kami tidak tahu adakah kami boleh sampai atau tidak,jadi kami tidak dapat membawa anda bersama. Pergilah ke tempat penempatan”. Namun saya tidak menyerah, dan mengekori mereka secara senyap selang empat atau lima meter dari belakang. Pada saat kami melewati api kebakaran, mereka menoleh ke belakang, lantas saya berhenti bergerak dan terus mengekori mereka. Oleh kerana saya terus-menerus mengekori mereka, maka mereka akhirnya menyerah dan berkata, “Baiklah, ikut dan berjalanlah ke mana saja kami tujui.” Mereka menunjukkan tempat-tempat merbahaya disepanjang jalan.

Ketika menghindari dari api, dan melewati Teishin Hospital dan tiba di jambatan Misasa-bashi, terdapat angkatan tentara yang tercedera duduk di kedua-dua belah jambatan tersebut sehingga tidak mempunyai ruang untuk berjalan. Kemungkinan mereka adalah tentara yang kedua yang ditempatkan berdekatan sana dan kesemuanya mengerang kesakitan. Entah bagaimana caranya bagi kami untuk menyeberangi jambatan agar tidak terpinjak tentara yang tercedera, dan akhirnya kami tiba di rel kereta api dan berjalan di atas rel menuju ke stesen Yokogawa. Di situ kemudiannya, saya berpisah dengan pekerja-pekerja kereta api. Saya ingat mereka berkata kepada saya, “Hati-hati dalam perjalanan menuju ke rumah.”

●Bertemuan dengan ibu saya
Saya berjalan sendirian menuju ke rumah saya di Misasa. Walaupun di sekitar sudah gelap semuanya, kedua sisi jalan masih terbakar. Ketika ada kebakaran, saya harus berlari untuk melewatinya. Rumah saya menghadap ke jalan dari Yokogawa menuju ke kawasan utara melalui Misasa. Ketika saya tiba di rumah, rumah saya telah terbakar. Saya menemui ibu saya yang sedang berdiri di jalan berdekatan dengan rumah. Saya sangat berasa lega kerana ibu masih hidup, lalu saya memeluknya dan kami berdua menangis.

Ibu saya sedang duduk menghadap cermin di tingkat dua rumah kami ketika bom atom meletus. Walaupun bilik di tingkat dua runtuh ke dalam, ketika itu ibu saya berada di sudut bilik, dan entah bagaimana bilik itu tidak runtuh. Disebabkan tangga tidak boleh digunakan, seseorang telah meyediakan tangga untuk ibu saya agar dia dapat turun.

Rumah tetap runtuh sepanjang pagi, dan ketika api merebak secara perlahan-lahan, akhirnya pada petang hari rumah pun musnah terbakar. Sebelum rumah terbakar, ibu saya berusaha untuk mengeluarkan futong (tempat tidur jepun) keluar dari rumah dengan melemparkan futong keluar, tetapi futong tersebut diambil oleh orang-orang yang melarikan diri yang meletakkan futong diatas kepala mereka sambil berlari. Sebuah tempat perlindungan di bawah tanah bagi mengelakkan serangan udara digali di halaman rumah kami. Di situ kami menyimpan barang-barang berharga seperti kimono, tetapi api telah mencapainya dan membakar barang-barang tersebut. Ibu saya mengambil air dengan timba dari sungai di depan rumah kami untuk memadamkan api berulangkali, dan meskipun ibu saya segera menggali lubang bawah tanah tersebut untuk mengambil barang-barang yang ada di dalamnya, namun sebahagian besar barang yang ada didalam telah terbakar. Meskipun jiran tetangga menyarankan ibu saya untuk melarikan diri ke Mitaki, namun dia khuatir akan saya dan kakak saya,maka ketika rumah terbakar, dia hanya melarikan diri ke kawasan lapang di seberang jalan dan terus menunggu saya dan kakak saya kembali ke rumah.

Pada malam itu, ibu dan saya berkemah di tengah-tengah kawasan lapang. Di jalan di hadapan rumah kami, sepanjang malam orang datang dan pergi, untuk melarikan diri, dan untuk menghulurkan bantuan. Saya hanya hairan melihat kejadian itu, sambil berfikir apa yang akan terjadi nanti. Pada tengah malam, beberapa tenaga penyelamat memberi kami bola nasi untuk makan, dan hanya sesaat setelah saya tertidur, matahari mulai bersinar.

●Usaha mencari kakak saya
Walapun ramai orang tidak berhenti pada 7 Ogos, kakak saya, Emiko tidak kembali ke rumah. Ibu saya risau akan kakak saya, lalu ibu berkata sambil menangis, “Apa yang telah terjadi padanya? Dia mungkin telah meninggal dunia....” Saya tidak dapat menahan untuk melihat ibu saya seperti itu, sehingga pada hari berikutnya, 8 Ogos, saya pergi bersama  dengan jiran teman kakak saya untuk pergi mencarinya. Sekali lagi, saya menyaksikan adegan seperti di dalam neraka.

Kakak saya bekerja di pejabat telepon pusat Hiroshima di Shimonakan-cho (kini, Fukuro-machi, Naka-ku). Saya pergi ke Yokogawa melalui Tokaichi-machi (kini, 1-chome Tokaichi-machi, Naka-ku) dan berjalan menyusuri rel tren. Oleh kerana rel tren itu sangat lebar, walaupun tidak ada yang dilakukan untuk membersihkan runtuhan kebakaran, saya masih dapat melewati rel tren. Bandar dipenuhi dengan mayat, sehingga saya harus berhati-hati agar tidak terpinjak mayat. Berdekatan Tera-machi (kini, Naka-ku), saya melihat kuda yang telah mati dengan keadaan membengkak teruk. Sekitar Tokaichi-machi, ada seorang yang sedang berdiri tapi tidak bergerak. Tubuhnya terbakar kehitaman, dengan kedua belah tangannya terlentang. Saya fikir itu pelik tetapi ketika saya melihat lebih dekat, saya menyedari bahawa orang tersebut telah meninggal dunia dengan keadaannya berdiri di tempat tersebut. Di merata tempat, saya melihat ramai orang sedang memasukkan kepala mereka ke dalam tangki air untuk memadamkan api, lalu mereka meninggal berkelompok di dalam tangki air tersebut. Di tepi jalan dipenuhi dengan mayat.  Ada yang masih hidup dan mengerang dan ada juga yang mengatakan, “Air, air.” Tidak ada seorang pun yang berkeadaan baik. Semua orang pakaiannya sudah terbakar, dan tubuh mereka juga terbakar dan membengkak, kelihatan seperti patung yang kehitaman. Saya berfikir jikalau kakak saya terjatuh di tempat seperti ini, maka saya tidak akan mungkin pernah bertemu dengannya. Sambil melangkah di atas mayat-mayat, saya menyeberangi jambatan Aioi-bashi dan berjaya tiba di Kamiya-cho (kini, Naka-ku), tetapi kami tidak dapat berjalan lebih jauh lagi, lalu kami memutuskan untuk kembali ke Misasa. Saya fikir kakak saya tidak mungkin dapat hidup dalam keadaan tersebut.

Untungnya, kakak saya kembali ke rumah setelah seminggu selepas pengeboman. Meskipun dia tercedera parah akibat terkena bom di pejabat telepon, dia melarikan diri ke Hijiyama dan kemudian dibawa ke tempat penempatan di Kaitaichi-cho, Aki-gun (kini, Kaita-cho). Dia menghabiskan masa seminggu di sana. Ketika dia mendengar bahawa sebuah trak akan ke bandar Hiroshima untuk menghulurkan bantuan, dia meminta mereka agar membawanya. Mereka menolak dan mengatakan bahawa orang yang cedera parah tidak boleh menaiki trak. Dalam fikirannya, bagaimanapun dia ingin juga pulang ke rumah, ketika dia memiliki kesempatan, dia melompat ke bahagian belakang trak yang membawanya ke Tokaichi-machi. Kakak saya berjalan terhenjot-henjot untuk kembali ke rumah dari Tokaichi-machi. Pakaiannya kelihatan compang-camping, dia berlumuran darah, dan mengenakan sepatu yang berbeza di kakinya. Jikalau orang yang tidak tahu akannya dan melihatnya, orang akan berprasangka bahawa kakak saya seorang yang tidak waras. Disebabkan rumah kami telah musnah terbakar, rakan ibu saya membiarkan kakak saya tidur di sudut rumahnya. Setelah itu, kakak perempuan saya tertidur di sudut tersebut dan berkeadaan diantara hidup dan mati.

●Rawatan terhadap kakak saya
Serpihan kaca telah menusuk diseluruh punggung kakak saya, daging dilengannya telah robek dan terbelah seperti delima. Setiap hari saya akan menggunakan jarum untuk menghilangkan serpihan kaca dari punggungnya, namun terdapat ulat  pada luka tersebut. Anak perempuan dari rumah yang kami tumpangi telah meninggal dunia akibat terkena bom atom, hal itu membuat kami berfikir bahawa kami akan menyusahkan mereka lalu kami memutuskan untuk kembali ke runtuhan rumah kami yang terbakar. Abang saya yang sulung datang dan mengumpulkan kayu api dan membuatkan kami tempat perlindungan yang kecil bagi melindungi kami dari hujan dan embun. Kami pindah ke sana untuk terus merawat kakak saya. Kakak saya, yang terbaring di tempat tidur, tidak dapat pergi sendirian ke tempat penempatan dan hanya mendapat sedikit salap dari seseorang, tetapi itu tidak cukup untuk penyembuhannya. Rambutnya telah gugur dan dia batuk berdarah. Kami berfikir berulangkali bahawa dia mendekati ajalnya. Ibu saya pergi ke gunung setiap hari untuk memetik daun dokudami (sejenis tanaman penawar racun). Ibu merebus daun yang masih segar dan memberikannya kepada saya dan kakak saya untuk diminum sebagai pengganti teh. Teh daun dokudami ini berbau kuat tetapi ibu saya mengatakan bahawa daun ini berfungsi sebagai penawar racun. Mungkin ubat ini berkhasiat kerana kakak saya yang hamper selama tiga bulan tidak mampu berdiri telah pulih dan kemudian kembali bekerja. Dia mengenakan tudung atau topi untuk menyembunyikan kepalanya hingga rambutnya kembali tumbuh. Luka-luka ditubuhnya masih ada, jadi dia tidak dapat mengenakan pakaian tanpa lengan dan hingga ke hari ini  juga lengannya kelihatan menonjol ke dalam.

●Kehidupan selepas perang
Saya terdengar dari seseorang bahawa perang telah berakhir. Meskipun saya mendengar bahawa perang telah berakhir, saya tidak dapat memahami hal tersebut. Ketika saya masih kecil, kami diajarkan bahawa Jepun tidak akan kalah dan saya sepenuhnya percaya itu. Ketika saya bekerja di stesen siaran, yang ada hanya pembicaraan tentang kemenangan dan tidak pernah ada satu kata tentang kekalahan. Namun, ketika saya tendengar bahawa bom atom juga telah dijatuhkan di Nagasaki, saya berfikir bahawa jika diserang dengan bom yang sama, lebih baik perang dihentikan.

Oleh kerana bangunan di Kaminagarekawa-cho tidak dapat digunakan, stesen siaran itu dipindahkan ke Toyo Industries Co. di Fuchu-cho, Aki-gun. Saya keluar dari pekerjaan di stesen siaran disebabkan saya harus mejaga kakak saya, dan juga kerana pejabat tersebut terletak jauh sehingga saya harus berulang-alik dengan kereta api, dan juga disebabkan saya terdengar desas-desus bahawa pasukan penjajah yang baru tiba, mungkin akan memperkosa wanita. Setelah itu, saya bekerja hampir setahun disebuah pejabat berdekatan dengan rumah saya. Kemudian saya bekerja sebentar di perusahaan lain yang diperkenalkan oleh seorang mantan guru. Selepas itu saya berkahwin.

Meskipun saya berada di Hiroshima pada 6 dan 8 Ogos, saya tidak pernah mengalami penyakit yang teruk akibat dari pengeboman. Meskipun saya diberitahu bahawa penyakit tersebut akan terjadi setiap saat, saya tidak pernah risau tentang penyakit tersebut. Jikalaupun saya sakit, saya akan memikirkannya pada saat itu saja. Daripada memikirkan kebimbangan tentang penyakit, lebih baik saya berfikir tentang apa yang akan saya lakukan dari sekarang ini.

●Harapan sebuah kerdamaian
Hingga saat ini, saya tidak ingin berbicara tentang pengeboman. Meskipun setelah perang dimana setiap tahunnya saya pergi ke monumen penghormatan mangsa pengeboman, saya tidak pernah pergi lagi ke taman Shukkeien, di mana saya melarikan diri pada 6 Ogos. Taman Shukkeien adalah sebuah taman yang indah tetapi jika saya melihat jambatan bulat yang merentasi kolam, saya akan teringat akan kejadian pada hari itu, maka saya tidak ingin pergi ke sana. Jika saya mengingati kembali, saya mulai menangis dan semua kata-kata terpendam di kerongkong saya.

Ramai orang yang terkena bom atom telah meninggal dunia, sehingga tinggal sedikit yang orang yang masih berbicara tentang hal itu. Walaupun saya semakin berusia, saya ingin bicara tentang tragedi seperti di neraka yang masih jelas dalam ingatan saya, dan ingin menyampaikan kepada anak muda bahawa senjata nuklear tidak boleh digunakan lagi. Cucu saya di sekolah rendah juga baru mulai tertarik akan masalah perang dan perdamaian. Dia bertanya kepada saya,”Nenek, apakah anda mengalami saat pengeboman?” Saya sangat berharap bahawa kita dapat menjadikan dunia di mana tidak ada seorang pun mengalami kesengsaraan tersebut.
 

 
 

Semua kandungan laman web ini termasuk foto dan teks tidak boleh diterbit, disalin, diedar atau dihantar semula dalam apa bentuk sekalipun.
HOMEに戻る Top of page
Copyright(c) Hiroshima National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
Copyright(c) Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims
All rights reserved. Unauthorized reproduction of photographs or articles on this website is strictly prohibited.
初めての方へ個人情報保護方針
日本語 英語 ハングル語 中国語 その他の言語